KUALA LUMPUR 10 Feb - Berkuat kuasa esok, pemeriksaan suhu badan di premis institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah tidak diwajibkan.
Bagaimanapun semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih diwajibkan mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis institusi pendidikan bawah KPM.
"Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa atau penjaga dimohon untuk memastikan anak atau anak jagaan berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah.
"Murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga disahkan positif COVID-19 serta tinggal serumah adalah tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah," menurut kenyataan KPM hari ini.
Ketetapan itu dibuat susulan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Selasa lalu berkaitan pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk di premis bermula esok.
KPM berkata, tahap kesihatan murid di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya.
"KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM.
"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," katanya. - DagangNews.com








