KUALA LUMPUR 7 Julai - SNS Network Technology Berhad iaitu penyedia produk, perkhidmatan dan rumusan ICT, mengumumkan bahawa pemegang saham mereka meluluskan semua resolusi pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan secara maya, hari ini.
Pengarah Urusan SNS, Ko Yun Hung berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua keran sanggup mengambil cuti untuk menghadiri AGM itu bagi mengundi resolusi seperti yang diumumkan kepada Bursa Malaysia.
"Ia merupakan tahun yang penuh peristiwa bagi kami.
"Pendapatan kami meningkat sebanyak 26.2% kepada RM1.40 bilion, dengan hampir semua hasil disumbangkan oleh penjualan produk ICT dari pasaran domestik dengan lebih banyak pesanan daripada saluran komersial.
"Keuntungan sebelum cukai meningkat 17.8% kepada RM57.36 juta manakala keuntungan selepas cukai meningkat 21.7% kepada RM43.72 juta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
SNS telah membayar dividen interim pertama dan kedua peringkat pertama sebanyak 0.50 sen sesaham biasa berjumlah RM8.06 juta bagi FY23 dan syarikat juga telah mengumumkan pada 27 Jun 2023, dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 0.25 sen sesaham biasa berjumlah RM4.03 juta bagi FY24 yang akan dibayar pada 28 Ogos 2023.
Ia merupakan agihan dividen ketiga daripada syarikat sejak penyenaraiannya pada September 2022. - DagangNews.com








