KUALA LUMPUR 25 Sept - MISC Berhad mempunyai keupayaan dari segi kepakaran, alatan dan teknologi untuk membangunkan kapal pengangkut karbon dioksida cecair (LCO2), sejajar dengan pembangunan hab tangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di Malaysia, terutamanya Kasawari, Lang Lebah dan BIGST.
MIDF Research berkata usaha sama MISC, Petronas CCS Ventures Sdn Bhd dan Mitsui O.S.K Lines, Ltd. (MOL) untuk membangunkan kapal pengangkut LCO2 adalah mencabar namun boleh dilakukan.
BACA JUGA: Petronas, MOL dan MISC berganding bahu bina kapal pengangkut LCO₂ untuk projek CCS
“Kami berpendapat bahawa dengan kepakaran MISC dan MOL dalam perkapalan dan pengangkutan marin, pemudahcaraan kapal pengangkut LCO2 boleh dijalankan dengan cara yang selamat, adil dan teratur,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini
Firma itu berkata kapal pengangkut LCO2 merupakan rumusan masa depan untuk industri maritim dan industri sukar dihentikan dalam menambah rantaian nilai CCS di Malaysia, serta menguatkuasakan komitmen bagi mengurangkan pelepasan karbon menjelang aspirasi 2050.
Menurut MIDF Research, pembinaan kapal tersebut adalah mencabar memandangkan ia mempunyai implikasi yang ketara dalam reka bentuk dan kapasiti kapal.
Namun begitu, katanya, karbon dioksida (CO2) telah dihantar sejak 1980-an dengan kapal kargo kering kecil dan jarak dekat, membekalkan untuk industri makanan dan minuman.
Tambahnya, menggabungkan kaedah pengangkutan lama serta teknologi baharu untuk pengendalian kargo CO2 dalam kapal tangki sebesar kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) adalah penting untuk menghantar CO2 dalam skala yang besar.
Memandangkan lembaran jangka masih di peringkat awal dan projek CCS hanya akan beroperasi pada tahun 2025, firma itu tidak membuat sebarang perubahan pada unjuran pendapatan dan harga sasaran untuk MISC pada ketika ini.
“Walaupun pembinaan kapal pengangkut LCO2 boleh mengambil masa sehingga dua tahun enam bulan, kami percaya MISC akan dapat melaksanakan sebahagian daripada projek CCS di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), dan sejajar dengan usaha mengimbangi karbon dalam sektor minyak dan gas Malaysia,” ujar firma tersebut.
MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) sebanyak RM8.16 sesaham, diperolehi dengan menambat nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 13.8 kali ganda kepada pendapatan sesaham (EPS) 2024 sebanyak 59sen.
Pada pukul 10:27 pagi ini, saham MISC telah susut 1 sen atau 0.1% kepada RM7.11 dengan permodalan pasarannya bernilai RM31.7 bilion. - DagangNews.com








