Pembelian sistem meriam belum dimuktamadkan, kata Menteri Pertahanan menolak dakwaan mengaitkan EVA buatan Slovakia | DagangNews Skip to main content

Pembelian sistem meriam belum dimuktamadkan, kata Menteri Pertahanan menolak dakwaan mengaitkan EVA buatan Slovakia

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 13 Mac - Cadangan pembelian sistem meriam bergerak 155mm untuk Tentera Darat Malaysia, masih di dalam proses perolehan kerajaan dan belum dimuktamadkan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

 

"Belum muktamad, jadi kita masih sedang tunggu siapa akhirnya, daripada mana kita akan beli peralatan itu,” kata beliau menjawab soalan tambahan Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) semasa menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, Selasa.

 

Sebarang proses perolehan sistem pertahanan oleh Kementerian Pertahanan kata beliau, adalah mengikut Standard Operating Procedure (SOP) dan pekeliling yang telah digariskan oleh Kementerian Kewangan.

 

 

eva

 

 

Memetik laporan Defence Security Asia,  Awang Solahuddin mendakwa Kementerian Kewangan (MoF) telah mengeluarkan Surat Hasrat (Letter of Intent – LOI) kepada syarikat Global Komited iaitu dari Kumpulan Weststar bagi perolehan sistem meriam bergerak  “EVA” 155mm untuk Tentera Darat Malaysia.

“Benarkah Kementerian Kewangan telah mengeluarkan LOI berjumlah RM805 juta kepada syarikat Global Komited, anak syarikat (Kumpulan) Weststar (untuk perolehan sistem meriam bergerak EVA 155mm)?,” soal anggota Parlimen tersebut kepada Menteri Pertahanan di Dewan Rakyat.

 

Beliau mendakwa Kementerian Kewangan memilih sistem meriam bergerak “EVA” 155mm dan mengalahkan sistem meriam bergerak lain — antaranya termasuklah CAESAR 155mm yang dibangunkan oleh syarikat NEXTER daripada Perancis.

 

Ahli Parlimen Pendang itu juga mendakwa bahawa pemilihan sistem meriam bergerak “EVA” 155mm oleh Kementerian Kewangan itu bertentangan dengan kehendak pengguna akhir iaitu Tentera Darat Malaysia. 

 

 

Datuk Awang Solahuddin Hashim
                             Datuk Awang Solahuddin Hashim

 

 

Sistem meriam bergerak “EVA” 155mm yang dibangunkan oleh Konstrukta Defence itu, dengan separuh daripada kos pembangunan sistem meriam itu dibiayai oleh Kementerian Pertahanan Slovakia.- DagangNews.com