KUALA LUMPUR 15 Ogos - Pembelian kilang bernilai RM17.7 juta di Pulai Pinang dijangka menyokong pertumbuhan Coraza Integrated Technology Bhd, membolehkannya meraih peluang dan memenuhi permintaan projek baharu.
TA Securities berkata ia optimis terhadap pengambilalihan kilang siap bina di atas tanah tersebut, yang akan memperluaskan jumlah ruang lantai pembuatan Coraza sebanyak 52.5%, dengan mengandaikan kilang tersebut mempunyai kawasan binaan seluas 52,000 kaki persegi.
“Harga pengambilalihan pada RM192 setiap kaki adalah setanding dengan hartanah di sekitarnya dengan skala yang sama.
“Secara keseluruhannya, kami mengekalkan unjuran pendapatan sementara menunggu pengambilalihan berkenaan selesai, yang dijangka dalam masa tiga bulan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
BACA JUGA: Coraza ambil alih tanah industri berharga RM17.69 juta daripada Huhtamaki Foodservice di Pulau Pinang
Walaupun pasaran pengguna akhir utama Coraza iaitu industri semikonduktor (61.8% daripada pendapatan FY22), sedang mengalami kitaran menurun, ia dijangka pulih pada 2024.
Memetik organisasi Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS), firma itu berkata jualan semikonduktor tahun ini diramalkan menurun 10.3% YoY kepada AS$515.1 bilion, sebelum melantun semula 11.8% YoY kepada AS$576 bilion pada 2024.
Sementara itu, TA Securities juga menjangkakan penambahan ruang pembuatan tersebut membolehkan Coraza melakukan proses fabrikasi tambahan secara dalaman berbanding penyumberan luar.
Dengan mengandaikan pengambilalihan dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman, firma itu menganggarkan Coraza bertukar daripada tunai bersih (RM4.2 juta pada akhir 1QFY23) kepada hutang bersih tetapi dengan penggearan bersih yang rendah pada 0.1 kali.
Di samping itu, ia menganggarkan perbelanjaan faedah berkaitan akan mencairkan unjuran pendapatannya bagi FY24 dan FY25 kurang daripada 3%.
TA Securities mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 86.5 sen sesaham.
Pada waktu penulisan, saham Coraza didagang tinggi pada 69.5 sen, naik 3.5 sen atau 5.3% dengan permodalan pasaran bernilai RM298.3 juta. - DagangNews.com








