Pembangunan asas fungsi Layer-1 masih awal, MIDF Research kekal saranan 'beli' terhadap MYEG | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembangunan asas fungsi Layer-1 masih awal, MIDF Research kekal saranan 'beli' terhadap MYEG

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 April - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM1.21 terhadap MYEG Services Bhd. memandangkan pembangunan asas untuk fungsi blockchain Zetrix Layer-1 masih di peringkat awal. 

 

Firma itu berkata, dengan menjangkaui pertumbuhan organik daripada segmen perniagaan sedia ada, usaha MYEG melibatkan diri dalam rantaian blok membuka laluan untuk pertumbuhan jangka pertengahan hingga panjang yang teguh.

 

"Kami berpendapat MYEG akan mengewangkan Zetrix menerusi pengecasan yuran gas dalam urus niaga, yuran penjejakan pada kebolehkesanan rantaian bekalan dan yuran transaksi dalam perdagangan rentas sempadan. 

 

"Namun begitu, kami mengekalkan anggaran pendapatan buat masa ini, kerana mengambil kira ia masih di peringkat perintis. Apabila ia menjadi kenyataan, kami mungkin menyemak semula anggaran ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, MYEG mengumumkan blockchain Zetrix miliknya telah melengkapkan pembangunan asas bagi Layer-1 fungsi blockchain dan akan melancarkan mainnet pada Jumaat (15 April). 

 

Infrastruktur Layer-1 akan menempatkan aplikasi, protokol dan rangkaian untuk digunakan terhadap kontrak pintar proprietari dan mekanisme konsensus bukti kepentingan (PoS) merentas rangkaian nod pengesah.

 

Zetrix ialah pelanjutan antarabangsa Xinghuo BIF, rangkaian blockchain kebangsaan terbesar China yang disokong oleh semua peringkat kerajaan di negara tersebut dan menjalankan kedua-dua aplikasi kerajaan dan komersial.

 

MYEG telah menerokai domain realiti tambahan, realiti maya dan blockchain sejak 2018 dengan matlamat untuk mencapai integrasi tinggi antara teknologi yang berbeza untuk membangunkan ekosistem metaverse.

 

Sejak itu, kumpulan telah melabur dalam pelbagai usaha niaga teknologi seperti Zetrix, NFT Pangolin (NFT) dan DeepScience (teknologi optik), dengan tumpuan pada teknologi utama dan bidang berkaitan metaverse seperti sensor pemetaan terhadap tindakan manusia, jejak visual serta seni digital dan kreativiti.

 

Syarikat perkhidmatan digital Malaysia itu kini terbabit dalam membina ekosistem blockchain di pelbagai negara ASEAN dan berhasrat untuk menghubungkan pasaran Asia Tenggara dengan pasaran China.

 

Setakat 9.21 pagi, harga saham MYEG menokok 2 sen atau 2.02% kepada RM1.01 dengan 2.76 juta saham diniagakan. - DagangNews.com