Pemain media dijangka raih manfaat daripada pemulihan ekonomi tahun ini - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemain media dijangka raih manfaat daripada pemulihan ekonomi tahun ini - Kenanga Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Jan - Pemain industri media akan mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi yang kukuh apabila memasuki 2022, menurut Kenanga Research. 

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Pritika Modhgil berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 5.5 hingga 6% tahun ini (seperti diunjurkan Kenanga Research) didorong permintaan domestik dan pertumbuhan berterusan dalam eksport. 

 

Katanya, memandangkan industri pengiklanan bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi, ia akan memberi limpahan kepada pemain media. 

 

"Dengan permintaan domestik dijangka meningkat, perniagaan juga akan mengembangkan peruntukan perbelanjaan pemasaran, justeru, banyak memanfaatkan pemain media seperti Media Prima Bhd. 

 

"Ini kerana kumpulan melaksanakan pendekatan pemasaran bersepadu yang menjadikan pengiklanan lebih mudah menerusi segmen OMNIA," katanya.

 

Berdasarkan data yang dikeluarkan Nielsen, ia menunjukkan jumlah perbelanjaan pengiklanan (adex) kasar bagi 2021 berkembang 18% kepada RM5.9 bilion daripada RM5 bilion sebelum ini.

 

Ini didorong terutamanya menerusi platform siaran percuma (FTA) televisyen yang meningkat sebanyak 39% dan masih merupakan penyumbang terbesar daripada jumlah adex. 

 

Selain itu, jumlah adex digital juga berkembang 10% kepada RM1 bilion pada tahun tersebut.

 

Secara keseluruhan, Kenaga Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor media dengan menjangkakan prospek adex yang lebih baik tahun ini.

 

Firma itu meletakkan Astro Malaysia Holdings Bhd. sebagai pilihan utamanya dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran (TP) RM1.07 berikutan hasil dividennya yang menarik dan syarikat berada dalam landasan tepat untuk muncul sebagai pengagregat OTT. 

 

Selain itu, turut menjadi pilihannya ialah saham Media Prima dengan saranan 'outperform' pada TP 56 sen kerana margin kumpulan bertambah baik susulan langkah pengoptimuman kos yang dilaksanakan kumpulan. - DagangNews.com