KUALA LUMPUR 10 April - Pemain industri tidak tahu menahu sebarang butiran undang-undang untuk mengawal selia industri vape dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai rancangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk produk tersebut, menurut Dewan Perniagaan Vape Malaysia (MVCC).
Setiausaha Agung MVCC, Ridhwan Rosli berkata, pihaknya hanya melihat kerajaan mengecualikan cecair vape yang mengandungi nikotin daripada Akta Racun dan juga mengenakan cukai ke atas produk tersebut.
Katanya, pihaknya menyokong langkah ini kerana ia akhirnya akan membolehkan produk vape dikawal selia.
“Bagaimanapun, memandangkan KKM telah menyatakan bahawa undang-undang baharu akan diperkenalkan untuk mengawal selia industri vape tidak lama lagi, industri tidak mempunyai pengetahuan mahupun butiran undang-undang. Tiada perbincangan dengan Kementerian Kesihatan mengenai perkara ini.
“Perbincangan terakhir yang diadakan dengan Kementerian Kesihatan adalah pertengahan tahun lepas dengan bekas menteri kesihatan, yang bertegas dengan cadangan Dasar Generasi Penamat (GEG), yang ditentang pemain industri memandangkan kesan negatif yang mungkin diberikan kepada industri vape tempatan.
“Sejak itu, kami tidak mengadakan sebarang perbincangan mengenai cadangan undang-undang dengan menteri kesihatan baharu mahupun mana-mana pegawai daripada KKM," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ridhwan berkata, adalah penting bagi pemain industri untuk terlibat dalam perbincangan membangunkan undang-undang mengawal selia industri bagi memastikan ia konsisten dengan amalan antarabangsa dan negara yang mengawal selia produk.

Katanya, KKM perlu mengadakan perbincangan dengan industri sebelum membuat syor akhir atau membentangkan sebarang undang-undang.
"Ini bagi memastikan undang-undang adalah perkembangan global yang konsisten dan mengambil pembelajaran daripada negara lain yang mengawal selia produk," katanya.
Beliau berkata, Filipina telah memperkenalkan peraturan untuk mengawal selia produk vape dan pihak berkuasa di sana telah mengadakan banyak pertemuan dengan pemain industri dalam menentukan peraturan yang betul untuk industri yang membawa kepada pelaburan berjuta-juta dolar daripada syarikat multinasional untuk negara itu.
"Sektor vape adalah sektor yang semakin berkembang di peringkat global dan syarikat multinasional akan melihat Malaysia jika kita melakukan perkara ini dengan betul.
"Pada masa ini, industri itu sudah bernilai lebih RM2 bilion dan dengan dasar yang betul, terdapat kemungkinan pelaburan dibawa masuk ke Malaysia akan memacu sektor elektrik dan kejuruteraan serta industri hiliran lain, mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu ekonomi Malaysia berkembang," katanya. - DagangNews.com








