Pelupusan kali kedua hutang peneroka beri impak besar kepada Felda - Idris Jusoh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelupusan kali kedua hutang peneroka beri impak besar kepada Felda - Idris Jusoh

KUALA LUMPUR 24 Feb - Felda tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang kali kedua seperti pada 2021 memandangkan ia memberi impak yang besar kepada aliran tunai agensi tersebut, jelas pengerusinya, Tan Sri Idris Jusoh. 

 

Beliau menegaskan, keputusan itu tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan Perpaduan.

 

Malah, katanya, semua peneroka yang menandatangani perjanjian pelupusan hutang tersebut telah menikmati maanfaat dengan bayaran kembali pinjaman yang jauh lebih rendah dan mampu dibayar.

 

"Saya ingin menjelaskan bahawa pelupusan sebahagian hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion daripada jumlah keseluruhan hutang sebanyak RM12.1 bilion telah pun selesai dilaksanakan pada 2021.

 

"Bayaran kembali baki pinjaman kini akan diteruskan seperti perjanjian pelupusan hutang tersebut demi menjamin kelangsungan organisasi dan membolehkan Felda terus menjaga kebajikan warga peneroka," katanya dalam kenyataan malam ini.

 

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa kerajaan tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8 bilion, yang diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2021. 

 

Azalina mengeluarkan kenyataan itu bagi menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan untuk meneruskan usaha menghapuskan hutang Felda.

 

Pada Julai 2021, Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri ke-8, mengumumkan kerajaan secara dasar bersetuju dengan cadangan Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

 

Namun, Idris berkata, kerajaan, melalui Felda tetap komited untuk terus membantu peneroka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pendapatan mereka serta memastikan hutang peneroka tidak terus meningkat. 

 

Menurutnya, komitmen ini telah terbukti apabila pada 2022, purata produktiviti ladang peneroka telah meningkat sehingga 19.43 tan per hektar setahun berbanding 17.29 tan perhektar setahun mewakili peningkatan lebih 12%. 

 

"Ini sekali gus akan dapat memberikan pulangan pendapatan yang lebih tinggi kepada warga peneroka Felda," katanya. - DagangNews.com