Pelantikan lima lagi pengedar berprestij dijangka tingkatkan jualan EV smart Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pelantikan lima lagi pengedar berprestij dijangka tingkatkan jualan EV smart Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mei - Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) memacu smart Malaysia ke tahap baharu yang lebih tinggi dengan pelantikan strategik lima lagi pengedar berprestij dalam usaha menawarkan kecemerlangan automotif dan rumusan mobiliti tercanggih.

 

Selaku pengedar dan pengimport rasmi jenama smart di Malaysia dan Thailand, pelantikan tersebut dijangka akan meningkatkan jualan kenderaan elektrik (EV)berinovasi serba baru syarikat, yang juga merupakan pemenang anugerah, smart #1 yang bakal memukau rakyat Malaysia pada penghujung tahun 2023. 

 

Para pengedar baharu ini mempunyai pengalaman luas dan mempunyai reputasi cemerlang dalam memenuhi keperluan para pembeli jenama automotif mewah. 

 

Mereka terdiri daripada Smart Mobility Sdn Bhd, GB Auto Sdn Bhd, Eleganz Lifestyle Sdn Bhd, Lee Motors (Alor Star) Sdn Bhd dan Sigma Energy EV Sdn Bhd yang mana masing-masing akan membantu meningkatkan kesedaran dan keterlihatan jenama smart dalam kalangan pembeli kereta di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, Smart melambangkan penyelesaian mobiliti kenderaan elektrik (EV) premium yang menggabungkan teknologi terkini dan reka bentuk futuristik. 

 

"Oleh itu, sangat penting bagi setiap pengedar yang kami pilih untuk memenuhi janji jenama kami dengan memberikan bukan sahaja perkhidmatan terbaik, tetapi juga pengalaman yang unik kepada setiap pemilik kenderaan smart," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Zhang, sebanyak tujuh pengedar telah dilantik bulan ini termasuk Hap Seng Smart dan Edaran Otomobil Nasional (EON) dalam usaha mendapatkan pelanggan yang berpotensi sebelum pelancaran smart #1 pada suku keempat tahun ini.

 

 

smart

 

 

Katanya, lebih ramai rakan kongsi sedang dipertimbangkan untuk berkerjasama dengan Pro-Net, termasuk syarikat yang berpengkalan di Pantai Timur yang mana pihaknya merancang untuk memperkenalkan jenama smart pada tahun hadapan.

 

"Kami sedang berusaha keras untuk memastikan ekosistem mobiliti EV dalam keadaan bersedia sebelum pelancaran smart #1 pada penghujung tahun ini dan kami akan sentiasa berkongsi berita mengenai perkembangan dan kemajuan dicapai dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya.

 

Selaras dengan pelan pelancaran produk smart di Malaysia, strategi pelantikan awal para pengedar smart bergantung kepada lokasi strategik mereka yang berada di beberapa bandar dan lokasi utama di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Terletak di penempatan mewah Bangsar, Kuala Lumpur, Smart Mobility akan menyasarkan kepelbagaian spektrum pelanggan di sekitar lokasi tersebut, daripada eskpatriat kepada individu korporat berprofil tinggi. 

 

Sementara itu, kedudukan strategik GB Auto di sepanjang jalur automotif Ipoh, Perak bersama beberapa jenama berprestij yang lain, memudahkan lagi akses dan memberi keselesaan kepada para pelanggan.

 

 

smart

 

 

Tiga rakan kongsi tambahan yang lain termasuk Eleganz Lifestyle, pengedar kereta 4S terkenal, Lee Motors dan Sigma Energy EV yang masing-masing menjalankan perniagaan di premis milik sendiri yang terkemuka dan terletak dalam zon automotif akan memberikan pengalaman baharu kepada pelanggan jenama smart di Pulau Pinang, Kedah dan Melaka.

 

Selain itu, pelantikan pengedar baharu ini adalah sebahagian daripada strategi smart Malaysia untuk memperkenalkan jenama auto terbaru-premium, pintar dan elektrik sepenuhnya kepada pasaran tempatan, termasuk penubuhan pusat jenama smart serba baharu 'smart Space' sebagai pusat sehenti untuk kemudahan dan penggunaan EV. - DagangNews.com