Pelanggan iQiyi meningkat 15 kali ganda dalam tempoh 2 tahun | DagangNews Skip to main content

Pelanggan iQiyi meningkat 15 kali ganda dalam tempoh 2 tahun

KUALA LUMPUR 24 Mei - Platform penstriman video atas permintaan terkemuka, iQiyi mededahkan bahawa pelanggannya meningkat 15 kali ganda dalam tempoh dua tahun. 

 

Pengurus Negara iQiyi Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam berkata, pada masa sama, iQiyi juga menjadi aplikasi penstriman video paling banyak dimuat turun di Malaysia pada tahun 2021 membabitkan lebih 10 juta muat turun.

 

"Kami komited dalam menyediakan pelbagai hiburan Asia kepada dunia dan ia boleh diakses oleh penonton antarabangsa, selain turut melabur dalam inovasi bagi menawarkan pengalaman tontonan yang menakjubkan untuk pengguna kami.

 

"Rakyat Malaysia telah menikmati kandungan Asia di platform iQiyi yang menawarkan pelbagai pilihan rangkaian senarai kandungan utama dan terbesar Asia daripada kandungan anime tempatan hingga Korea, China dan Jepun," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketika ini, iQiyi menawarkan kandungan premium hebat sebanyak 4,000 judul menerusi platformnya.

 

Setakat enam bulan pertama tahun 2022, penonton iQiyi disajikan dengan barisan rancangan tempatan popular termasuk drama musim ketiga yang dinanti-nantikan, 7 Hari Mencintaiku, Bila Hati Memilih Dia, dan drama yang bakal menemui penonton iaitu Kerana Aku Isteri Bidaan. 

 

iqiyi
Dinesh Ratnam

 

Peminat drama China juga teruja menonton My Sassy Princess, Be My Princess, Under The Skin, dan Love The Way You Are.

 

Selain itu, penggemar drama Korea boleh menikmati judul menarik seperti Military Prosecutor Doberman, Ghost Doctor serta drama terkini seperti Shooting Stars dan The Killer's Shopping List.

 

Dinesh berkata, iQiyi Malaysia berhasrat untuk menjadi pemacu utama dalam ekosistem kandungan tempatan dengan membina hubungan yang kukuh dengan pengguna dan juga rakan kongsinya.

 

"Tumpuan iQiyi bukan sahaja menawarkan pengalaman hiburan terbaik kepada penonton kami, malah kami juga berhasrat membantu memperkembang industri tempatan menerusi kerjasama bermakna dengan syarikat produksi, rakan kongsi media, pelbagai jenama dan pengiklan

 

"Sebagai antara peserta utama di Malaysia, kami mahu memainkan peranan kami dalam merangsang industri kreatif tempatan. Kami teruja untuk terus menjalinkan kerjasama dengan pemain industri ke arah mencapai matlamat ini dan komited untuk melabur dalam pasaran tempatan bagi tempoh jangka panjang," katanya. - DagangNews.com