KUALA LUMPUR 13 Jan - Ekoran risiko kemelesetan Amerika Syarikat (AS) yang semakin meningkat, pembukaan semula China dilihat tepat pada masanya untuk memberikan sedikit penampan di samping membantu mengurangkan lagi tekanan rantaian bekalan global, demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma itu menyifatkan pelancong China bukan sahaja penting kepada industri pelancongan di Malaysia, tetapi mereka juga adalah 'pelancong bernilai tinggi'.
Ini kerana katanya, mereka menyumbang antara 19 hingga 72% hasil berbanding purata pelancong lain yang datang ke negara ini.
"Sebelum pandemik COVID-19, China merupakan sumber pelancong ketiga terbesar ke Malaysia (selepas Singapura dan Indonesia) sekitar 8.8 hingga 11.9%.
"Bagaimanapun, dari segi sumbangan kepada penerimaan pelancong, China menduduki tempat kedua lebih tinggi (11 hingga 17.8%) disebabkan kuasa perbelanjaan mereka yang lebih kukuh.
"Antara 2017-2019, pelancong China kebiasaannya membelanjakan antara RM661 hingga RM768 sehari di Malaysia, iaitu antara 19 hingga 72% lebih tinggi daripada apa yang dilakukan oleh pelancong biasa," katanya dalam nota kajian hari ini.
Berkuat kuasa 8 Januari lalu, China membuka semula sempadan negaranya dengan membenarkan penumpang masuk tanpa kuarantin, dengan hanya keputusan PCR negatif diperlukan dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas.
China juga memberi jaminan akan terus mengoptimumkan dan menyesuaikan langkah-langkah berkaitan COVID-19 mengikut perkembangan situasi wabak, bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan untuk memastikan perjalanan rentas sempadan yang selamat, lancar dan teratur.
HLIB melihat sektor berkaitan pelancongan seperti penerbangan, minuman keras, kumpulan Genting, penjagaan kesihatan, REIT dan telekomunikasi akan menerima manfaat utama daripada pembukaan semula China.
Bagi sektor komoditi pula, katanya, ia akan memberi impak positif kepada permintaan memandangkan China adalah pengguna kedua terbesar minyak mentah kira-kira 16% daripada pengeluaran global pada 2021.
"Bagaimanapun, kami perhatikan negara pengimport minyak sawit utama (termasuk China) telah meningkatkan aktiviti penambahan semula mereka, menghasilkan inventori minyak makan yang lebih tinggi, mungkin menyaksikan potensi dihadkan untuk pembelian yang lebih agresif dalam tempoh terdekat.
"Mengenai aluminium, penganalisis kami percaya akan terdapat beberapa kesan mengimbangi harga daripada peningkatan kapasiti dan pengeluaran di China," katanya.
Pada masa sama, menurut firma itu, pembukaan semula China turut memberi impak positif kepada ringgit ekoran pengukuhan yuan.
"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran bahawa ringgit akan berlegar sekitar RM4.34 berbanding dolar AS tahun ini," jelasnya.
Secara keseluruhan, HLIB turut mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini pada 4% dengan indeks utama FBM KLCI diunjur berlegar sekitar 1,580 mata. - DagangNews.com








