Pelan Ekonomi Madani perlukan keazaman bagi membebaskan Malaysia daripada perangkap pendapatan sederhana - Bank Negara | DagangNews Skip to main content

Pelan Ekonomi Madani perlukan keazaman bagi membebaskan Malaysia daripada perangkap pendapatan sederhana - Bank Negara

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Pelan dasar Ekonomi Madani memerlukan keazaman dan pelaksanaan untuk membebaskan Malaysia daripada perangkap berpendapatan sederhana dan menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, ekonomi Malaysia berada di persimpangan jalan, dan dasar ekonomi serta kewangan hari ini akan menentukan hala tuju dan trajektori pembangunan negara pada masa hadapan.

 

“Jurang antara yang kaya dan miskin semakin melebar, dan ia perlu ditangani dan diseimbangkan dengan pembangunan masyarakat yang inklusif, adil dan saksama yang menjaga integriti sosial,” katanya pada Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di sini hari ini.

 

“Sasaran BNM adalah untuk membangunkan sektor kewangan yang progresif, teguh, telus dan bertanggungjawab serta mampu menyumbang kepada kemajuan yang lebih adil, sama rata, bermakna dan inklusif untuk rakyat negara ini,” tambahnya.

 

Abdul Rasheed berkata program iTekad dibangunkan dengan mengetengahkan kewangan sosial sebagai komponen penting ekosistem kewangan di Malaysia untuk memangkin pembangunan sosioekonomi yang lebih seimbang.

 

Tambahnya, kewangan sosial menekankan mewujudkan impak sosial yang positif selain daripada pulangan kewangan.


 

Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour
                          Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour

 


Sejak dilancarkan pada 2022, inisiatif iTekad kini telah berkembang merangkumi 11 institusi kewangan, lebih 50 rakan kongsi pelaksana dan telah memanfaatkan lebih 3,000 peserta.

 

Gabenor menjelaskan bahawa iTekad telah menggerakkan lebih RM40 juta dana kewangan sosial setakat ini dan telah memberikan manfaat yang besar kepada pesertanya.

 

“Kewangan sosial mampu memberi dimensi baharu kepada pembangunan sosio-ekonomi rakyat dengan menggunakan prinsip sistem kewangan inklusif, mengambil kira kesan jangka panjang dan menyatukan semua pihak berkepentingan,” katanya.

 

“Bank Negara kekal komited untuk mengetengahkan kewangan sosial dalam ekosistem kewangan Malaysia, termasuk menerajui pembangunan program iTekad seterusnya,” tambahnya. - DagangNews.com