Pelaksanaan GEG beri kesan buruk kepada ekonomi Malaysia - DARE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaksanaan GEG beri kesan buruk kepada ekonomi Malaysia - DARE

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Mac - Pelaksanaan Dasar Generasi Penamat (GEG) akan memberi kesan yang lebih luas kepada ekonomi, mengakibatkan kehilangan pekerjaan, penutupan perniagaan dan menghalang pelaburan masa depan, kata sebuah badan pemikir tempatan.

 

Pengarah Urusan Datametrics Research and Information Centre (DARE), Pankaj Kumar berkata, impak daripada GEG melangkaui sekadar kesihatan, termasuk dasar larangan ketat sedemikian akan memberi impak negatif yang lebih besar ke atas keseluruhan ekosistem ekonomi.

 

Beliau berkata, perniagaan sama ada pengilang, pengimport, pengedar atau peruncit akan terjejas dalam jangka masa panjang. 

 

"Banyak perniagaan sah akan ditutup secara beransur-ansur, yang akan meningkatkan kadar pengangguran. Pelabur antarabangsa dan domestik akan terjejas kerana Malaysia akan dilihat sebagai negara yang menyekat pelaburan kerana langkah ini menetapkan precedent yang berbahaya.

 

“Selain itu, terdapat juga lebih banyak kerumitan dalam sektor runcit dan mewujudkan kos pematuhan yang tidak perlu. Penguatkuasaan akan menjadi sangat mencabar dan produk yang menyalahi undang-undang akan berkembang, menjadikan pengenalan dasar GEG tidak mencapai matlamatnya, yang mana ia akan menyebabkan hasil lebih rendah serta ketirisan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Pankaj, industri vape bernilai RM2.49 bilion yang melibatkan ribuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan tempatan dengan lebih 30,000 pekerja langsung dan tidak langsung juga akan terjejas oleh langkah GEG.

 

Katanya, industri vape tempatan telah berkembang dari 2019 hingga 2022 seiring dengan trend global yang mana semakin ramai perokok beralih kepada produk vape. 

 

 

dare
                                             Pankaj Kumar

 

 

"Industri vape telahpun mempunyai ekosistem yang mantap dengan pelbagai pemain industri dan beribu-ribu pekerja. Ini adalah fakta yang tidak boleh dielakkan atau dinafikan. 

 

"Pengenalan GEG untuk industri vape akan memberi impak besar kepada perniagaan tempatan dan pekerja Malaysia.

 

“Dengan iklim ekonomi semasa dan paras hutang Malaysia menghampiri RM1.5 trilion, kerajaan mesti memberi tumpuan untuk meningkatkan permainannya dalam meningkatkan hasil dan menarik pelaburan, dan bukannya melaksanakan dasar seperti GEG," katanya.

 

Tambahnya, kerajaan juga perlu bertindak pantas untuk mengawal selia dan mengenakan cukai kepada industri vape dengan meminda undang-undang semasa, bukannya membentangkan rang undang-undang baharu yang akan mengambil masa untuk melalui proses perundangannya. 

 

Ini akan membolehkan kerajaan melaksanakan kawalan segera ke atas industri yang tidak terkawal dan tidak dikenakan cukai, katanya. - DagangNews.com