Pelaksanaan e-Invois bakal tamatkan amalan salah pinjaman kereta 100% - AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaksanaan e-Invois bakal tamatkan amalan salah pinjaman kereta 100% - AmInvestment

E-Invois dijangka akhiri amalan teknikal salah beri pinjaman 100%, kata AmInvestment. -Gambar hiasan Perodua
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Julai - AmInvestment Bank Research (AmInvestment) menjangkakan pelaksanaan e-Invois bermula Ogos 2024 bakal mengakhiri amalan 'teknikal yang salah' pinjaman kereta 100%.

 

Firma penyelidikan tu berkata, peraturan menetapkan pembiayaan sehingga 90% dengan deposit 10%, tetapi beberapa ejen jualan yang tidak jujur telah menaikkan harga kereta untuk permohonan pinjaman agar sepadan dengan harga sebenar kereta.

 

"Amalan ini adalah rahsia terbuka. Ia popular kerana ramai orang tidak mempunyai deposit 10% secara tunai. 

 

 

"Kita tidak tahu berapa banyak pinjaman kereta yang terlibat dalam kategori ini, tetapi kemungkinannya tinggi dalam segmen kereta bajet, iaitu Perodua dan Proton," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sehubungan itu, AmInvestment meramalkan separuh kedua 2024 (2H24) akan lebih mencabar bagi MBM Resources Berhad yang mempunyai 20% kepentingan dalam Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).

 

"Bank-bank sedang mengetatkan buku pembiayaan kenderaan mereka kerana komposisi system jumlah pinjaman keseluruhan telah melebihi norma sejarah. Pemohon pinjaman berkualiti yang bermargin rendah kemungkinan akan paling terjejas.

 

"Kami mendapat maklumat daripada pembekal cat automotif tempatan bahawa permintaan telah merosot secara drastik pada bulan Jun (>25%), ini secara sejarahnya telah menjadi petunjuk yang boleh dipercayai mengenai kadar pengeluaran pada masa depan dalam tempoh satu hingga dua bulan," jelasnya.

 

BEZZA
Bezza antara model popular Perodua. -GAMBAR mbmr

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan MBM Resources akan terus berpaksikan kepada Perodua - MIDF Research

 

Menurut AmInvestment, satu lagi penyebab mengapa 2H24 merupakan tempoh yang mencabar bagi MBM Resources ialah pesanan tertunggak telah melonggar dan kembali kepada tahap biasa.

 

"Ramalan kami lebih rendah daripada konsensus kerana kita berpendapat pasaran telah meremehkan cabaran-cabaran yang akan datang dalam memperoleh pembiayaan kereta," ujarnya.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Hold' pada MBM Resources dengan nilai adil yang tidak berubah pada RM4.63 sesaham.

 

Menurut AmInvestment, penarafan Neutral dengan 3 bintang juga kekal tidak berubah.

 

"Kami percaya keputusan kewangan 2QFY24 yang akan datang akan kekal mendatar berbanding suku tahun sebelumnya (QoQ), tetapi 36% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya (YoY). 

 

"Perlu diperhatikan bahawa 2QFY23 telah terjejas secara negatif oleh tamat tempoh pelepasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada penghujung Mac 2023.

 

"2QFY24 akan disokong oleh pesanan tertunggak yang besar lebih dari 100,000 unit pelbagai model Perodua," katanya. - DagangNews.com