Pelabur meragui keupayaan Econpile hasilkan projek dengan margin keuntungan tinggi | DagangNews Skip to main content

Pelabur meragui keupayaan Econpile hasilkan projek dengan margin keuntungan tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mac - Pelabur dilihat masih meragui keupayaan Econpile Holdings Bhd bagi menghasilkan margin keuntungan tinggi daripada sesuatu projek terutama selepas mencatatkan kerugian bersih dalam sembilan daripada 10 suku terakhir.

 

CGS International bagaimanapun percaya bahawa kumpulan itu akan kembali mencatatkan keuntungan pada 2HFY24 kerana kebanyakan projek terdahulu yang menawarkan margin keuntungan rendah sudah hampir habis dan mula mencatatkan margin tinggi untuk beberapa projek pada 2QFY24.

 

Katanya, pembayaran kini adalah tepat pada masanya berbanding enam bulan yang lalu dan kumpulan itu akan terus menerima bayaran pada setiap bulan.

 

"Kami menjangkakan permintaan untuk kontraktor cerucuk pada masa akan datang melebihi kapasiti pemain industri tempatan dan dijangka menawarkan margin untung kasar sebanyak 10% pada FY25 manakala 15% pada FY26.

 

"Perkara itu adalah selaras dengan bacaan pengurusan mengenai sektor itu di mana margin untung kasar akan pulih sebaik sahaja projek infrastruktur tempatan berskala besar dianugerahkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan menjangkakan kumpulan itu meraih projek baharu sebanak RM500 juta oada FY24 mengatasi unjuran mereka sebanyak RM400 juta.

 

"Selain potensi kemenangan domestik bagi projek infrastruktur tempatan seperti LRT Pulau Pinang dan MRT3, projek kediaman bertingkat tinggi, kilang semikonduktor dan pusat data, projek baharu juga boleh diperoleh daripada projek kediaman swasta di Kemboja selain projek infrastruktur di Singapura seperti Terminal 5 Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

 

"Tender untuk Terminal 5 sudah dibuka dengan jumlah kos pembinaan dianggar berjumlah S$10 bilion dan memerlukan sekitar 13,000 cerucuk," katanya.

 

CGS International mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) 61 sen sesaham. - DagangNews.com