KUALA LUMPUR 6 Mac - Pelabur asing kembali menjual bersih ekuiti tempatan pada minggu lalu sebanyak RM338.7 juta selepas dua minggu berturut-turut membeli.
Aliran keluar pada minggu lalu dilakukan pada setiap hari kecuali Selasa dengan aliran masuk sebanyak RM9 juta.
Setakat ini, pelabur asing telah menjual bersih sebanyak RM685.7 juta ekuiti tempatan, menurut MIDF Research hari ini.
Jumlah tertinggi aliran keluar direkodkan pada Isnin sebanyak RM178.6 juta, diikuti jualan bersih pada hari Rabu dan Khamis masing-masing berjumlah RM84.2 juta dan 73.8 juta.
“Sektor tenaga mempunyai aliran masuk tertinggi sebanyak RM33.5 juta diikuti pembinaan pada (RM24.8 juta) dan Real Estate Investment Trust (REIT) (RM2.5 juta).
Manakala, aliran keluar paling tinggi adalah dalam sektor kewangan sebanyak RM121 juta diikuti perindustrian (RM80 juta) dan penjagaan kesihatan RM74.3 juta,” katanya.
Sebaliknya, pelabur institusi tempatan kembali menjadi pembeli bersih ekuiti sebanyak RM296 juta selepas dua minggu berturut-turut menjual.
Aliran masuk tertinggi dicatatkan sebanyak RM169.9 juta pada Jumaat diikuti Isnin pada RM132.1 juta manakala aliran keluar hanya pada Selasa sebanyak RM78.3 juta.
“Setakat ini, pelabur institusi tempatan telah membeli ekuiti sebanyak RM736.8 juta,” katanya.
Sementara itu, pelabur runcit kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut pada kadar RM42.7 juta dan hanya pada Rabu terdapat aliran keluar sebanyak RM55.1 juta.
Ini menjadikan jumlah pembelian bersih oleh pelabur runcit sebanyak RM51.1 juta setakat ini.
Dari segi pergerakan pelabur, MIDF Research mendapat volum dagangan purata harian (ADTV) pelabur institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing meningkat 0.3% dan 42%, manakala dagangan pelabur runcit menyusut 6.3%. -DagangNews.com








