KUALA LUMPUR 28 Ogos - Pelabur asing kembali menjual bersih sebanyak RM153.4 juta ekuiti Malaysia pada minggu lalu selepas membeli selama enam minggu berturut-turut, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata pelabur asing telah mencatat aliran masuk RM6.2 juta pada Isnin dan kemudian beralih kepada aliran keluar dari Selasa hingga Khamis berjumlah RM213.9 juta.
“Pelabur asing kembali membeli pada Jumaat dengan aliran masuk RM54.4 juta berikutan inflasi dilaporkan menggalakkan dengan peningkatan Indeks Harga Pengguna sebanyak 2% tahun ke tahun (YoY) pada Julai 2023, pertumbuhan terkecil dalam dua tahun.
“Mereka menunjukkan minat dalam saham seperti Boustead Plantations (RM67.6 juta), UMW (RM44.6 juta) dan Malaysia Airports (RM20.8 juta),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Setakat ini, pelabur asing telah menjadi penjual bersih ekuiti domestik pada kadar RM2.56 bilion.
MIDF Research berkata tiga sektor teratas dengan aliran masuk pelabur asing adalah utiliti (RM122.4 juta), perladangan (RM112.2 juta) dan hartanah (RM54 juta).
Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar pelabur asing adalah perkhidmatan kewangan (RM222.3 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM107.1 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM60.2 juta).
Menurut firma itu, pelabur institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan aliran masuk RM277.3 juta minggu lalu.
Tambahnya, pelabur institusi tempatan telah mencatatkan aliran masuk RM3.04 bilion setakat ini bagi 2023.
Memasuki minggu ketujuh berturut-turut, pelabur runcit tempatan meneruskan trend jualan bersih dengan mencatatkan aliran keluar bernilai RM124 juta minggu lepas.
Setakat ini, MIDF Research berkata pelabur runcit tempatan telah merekodkan aliran keluar sebanyak RM472.9 juta.
“Dari segi pergerakan pelabur, purata nilai dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan mencatatkan penurunan, di mana pelabur runcit sebanyak 1.8%, pelabur institusi tempatan pada 2.6% dan pelabur asing menyusut 0.5%,” katanya. - DagangNews.com








