KUALA LUMPUR 25 April - Pelabur asing kembali membeli ekuiti tempatan berjumlah RM247.62 juta bagi minggu berakhir 22 April lalu, setelah menjual RM60.11 juta minggu sebelumnya.
Dalam laporan aliran dana mingguan MIDF Research, ia mendapati pelabur runcit masih mengekalkan pembelian ekuiti berjumlah RM25.74 juta manakala pelabur institusi tempatan masih menjual RM273.35 juta ekuiti minggu lalu.
Setakat ini, katanya, dana antarabangsa merupakan pembeli ekuiti tempatan selama 13 daripada 16 minggu bagi tahun ini, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM7.16 bilion.
"Mereka merupakan penjual bersih pada Isnin lalu dengan melupuskan RM75.28 juta ekuiti dan kembali membeli ekiti pada Rabu hingga Jumaat.
"Pasaran ditutup pada Selasa sempena sambutan Nuzul Al-Quran," katanya dalam laporan itu hari ini.
Sebaliknya, pelabur institusi tempatan pula, ia membeli ekuiti pada Isnin sebanyak RM73.59 juta sebelum menjual semula ekuiti mulai Rabu hingga Jumaat.
"Pelabur institusi tempatan telah menjual ekuiti selama 11 minggu berturut-turut sejak minggu berakhir 11 Februari lalu.
"Malah, mereka juga muncul penjual bersih ekuiti bagi tempoh 14 minggu daripada 16 minggu sepanjang tahun ini dan mereka telah menjual RM7.77 bilion ekuiti tempatan," tambahnya.
Bagaimanapun, MIDF Research mendapati, pergerakan pelabur runcit adalah bercampur-campur pada minggu lalu dengan 2 hari pembelian bersih pada Isnin dan Jumaat manakala penjualan bersih pada Rabu dan Khamis.
Setakat ini, katanya, pelabur runcit telah membeli ekuiti berjumlah RM613.89 juta.
Dari segi penyertaan, pelabur asing menyaksikan peningkatan nilai purata dagangan harian (ADTV) sebanyak 9.67% manakala pelabur runcit dan pelabur institusi tempatan masing-masing susut 8.12% dan 1.99%.
Pada minggu lalu, indeks utama FBM KLCI berkembang 0.82% untuk berakhir pada 1,601.97 mata manakala ringgit menokok 2.11% kepada RM4.3250 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).- DagangNews.com








