KUALA LUMPUR 6 Nov - Pelabur asing kembali ke Bursa Malaysia minggu lepas dengan belian bersih RM163.7 juta ekuiti selepas menjual bersih sejak dua minggu lalu, kata MIDF Research.
Menurut firma penyelidikan itu, pelabur asing membeli bersih RM58.3 juta pada Selasa, RM83.3 juta pada Khamis dan RM210.5 juta pada Jumaat tetapi menjual bersih pada Isnin dan Rabu masing-masing berjumlah RM79.2 juta dan RM109.2 juta.
“Bank Negara mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 3% dalam Mesyuarat Dasar Monetari terakhirnya tahun ini, sejajar dengan jangkaan kami dan pasaran,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Tiga sektor teratas dengan aliran masuk pelabur asing bagi minggu ini ialah utiliti (RM56.7 juta), pembinaan (RM54.7 juta) dan hartanah (RM48.5 juta).
Manakala tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluar ialah perkhidmatan kewangan (RM60.9 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM42.9 juta) dan tenaga (RM10.8 juta).
Sementara itu, pelabur institusi tempatan menjual bersih RM93.4 juta minggu lepas, menamatkan pembelian bersih selama empat minggu.
Mereka menjual bersih pada Selasa, Khamis dan Jumaat masing-masing sebanyak RM54 juta, RM41 juta Khamis dan RM137.6 juta, manakala mereka membeli bersih RM55.6 juta pada Isnin dan RM83.6 juta pada Rabu.
Sebaliknya, pelabur runcit tempatan meneruskan jualan bersih sebanyak RM70.3 juta minggu lepas bagi minggu keempat berturut-turut.
Mereka menjual bersih RM4.3 juta pada Selasa, RM42.3 juta pada Khamis dan RM72.9 juta pada Jumaat, manakala mereka membeli bersih RM23.6 juta pada Isnin dan RM25.6 juta pada Rabu.
“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat penurunan purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing sebanyak 10.4% dan pelabur runcit tempatan 2.6% minggu lepas, manakala pelabur institusi tempatan mencatatkan peningkatan 2.9%,” katanya. - DagangNews.com








