KUALA LUMPUR 17 Julai - Pelabur asing kembali membeli ekuiti tempatan sebanyak beralih RM570.9 juta setelah menjual bersih 12 minggu berturut-turut.
Menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research, pelabur asing mula membeli pada Rabu dengan aliran masuk bersih RM84.2 juta.
“Ini berikutan terbitan data ekonomi positif, termasuk pertumbuhan 6.6% tahun ke tahun (YoY) dalam nilai jualan bulanan bagi sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia, mencecah RM138 bilion pada Mei.
“Selain itu, sektor pembuatan negara menyaksikan peningkatan nilai jualan sebanyak 3.3% YoY kepada RM146.8 bilion pada Mei,” jelasnya.
Firma penyelidikan itu berkata aliran masuk bersih berterusan dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada Jumaat dengan aliran masuk bersih RM468.9 juta, aliran masuk bersih terbesar sejak 28 Februari 2022, sebelum kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).
“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk pelabur asing adalah teknologi (RM115 juta), pengangkutan dan logistik (RM102 juta) serta perladangan (RM97 juta), manakala tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar adalah penjagaan kesihatan (RM29.7 juta), REIT (RM10.2 juta) dan Tenaga (RM7.1 juta),” tambahnya.
Bagaimanapun, pelabur asing telah menjadi penjual bersih ekuiti tempatan selama 21 daripada 28 minggu tahun ini dengan jumlah aliran keluar RM3.88 bilion.
Sebaliknya, pelabur institusi tempatan bertukar menjadi penjual selepas membeli selama 12 minggu berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar RM308 juta minggu lepas.
Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih untuk 21 daripada 28 minggu, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM3.62 bilion.
Pelabur runcit tempatan juga turut menjadi penjual dengan aliran keluar RM262.9 juta minggu lalu.
Sehingga kini, pelabur runcit tempatan telah menjadi pembeli selama 15 daripada 28 minggu dengan aliran masuk berjumlah RM253.5 juta setakat ini.
“Dari segi pergerakan pelabur, nilai purata dagangan harian (ADTV) meningkat oleh peruncit (19.9%), institusi tempatan (22.4%) dan pelabur asing (33.7%),” katanya. - DagangNews.com








