Pelabur asing kembali beli ekuiti RM292.67 juta selepas catat aliran keluar selama 7 minggu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing kembali beli ekuiti RM292.67 juta selepas catat aliran keluar selama 7 minggu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Okt - Pelabur asing kembali membeli ekuiti tempatan sebanyak RM292.67 juta pada minggu lalu setelah menjual bersih ekuiti selama tujuh minggu berturut-turut.

 

Laporan aliran dana mingguan MIDF Research mendapati pelabur asing membeli ekuiti setiap hari dengan aliran paling tinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM124.9 juta.

 

Tiga sektor yang mencatat aliran masuk asing paling tinggi ialah perkhidmatan kewangan sebanyak RM246.2 juta diikuti telekomunikasi dan media (RM60.8 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM37.4 juta).

 

"Sementara itu, tiga sektor yang mencatat aliran keluar asing paling banyak ialah perladangan (RM35.4 juta), pembinaan (RM31.7 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM19.3 juta)," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Sebaliknya, pelabur institusi tempatan kembali menjual ekuiti sebanyak RM195.89 juta pada minggu lalu selepas lima minggu muncul sebagai pembeli ekuiti tempatan.

 

Aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM99.15 juta diikuti dengan penjualan ekuiti pada Selasa dan Rabu masing-masing sebanyak RM19.59 juta dan RM61.97 juta.

 

Pelabur runcit pula kekal menjual ekuiti pada minggu lalu berjumlah RM96.77 juta sebelum kembali membeli ekuiti pada Jumaat sebanyak RM28.4 juta. 

 

Setakat tahun ini, dana antarabangsa telah membeli ekuiti selama 25 minggu daripada 43 minggu dengan aliran masuk sebanyak RM6.03 bilion. 

 

Pelabur institusi tempatan pula menjual ekuiti selama 30 minggu dengan aliran keluar berjumlah RM8.16 bilion diikuti pembelian ekuiti pelabur runcit selama 27 minggu berjumlah RM2.12 bilion.

 

Dari segi pergerakan pelabur, nilai purata dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing susut 18.96% manakala pelabur institusi tempatan dan runcit masing-masing meningkat 4.81% dan 8.77%. - DagangNews.com