KUALA LUMPUR 2 Nov - Selepas tiga bulan berturut-turut membeli bersih, aliran dana pelabur asing dalam ekuiti Malaysia bertukar negatif pada Oktober 2023 dengan jualan bersih RM2.18 bilion berbanding belian bersih RM674 juta pada September, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Penganalisis Maybank IB, Wong Chew Hann berkata pelabur asing menjual ekuiti 18 daripada 22 hari dagangan dan mencatat jumlah jualan tertinggi pada minggu pertama Oktober sebanyak RM1.6 bilion.
Wong berkata ini meningkatkan jualan bersih pelabur asing untuk tempoh 10 bulan pertama 2023 (10M23) kepada RM4.15 bilion, bertentangan dengan aliran masuk RM4.4 bilion pada 2022.
“Pegangan asing dalam pasaran ialah 19.5% pada akhir Oktober 2023 berbanding 20.6% pada akhir 2022, susut 1.1 mata peratusan setakat ini, paras terendah baharu sejak krisis kewangan global,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, pelabur runcit menjual RM115 juta ekuiti Malaysia pada Oktober berbanding jualan RM97 juta dalam September, menjadikan jualan bersih mereka setakat tahun ini berjumlah RM740 juta.
Pelabur institusi tempatan pula membeli RM2.3 bilion ekuiti Malaysia pada Oktober berbanding aliran keluar RM577 juta pada September, menaikkan belian bersih mereka untuk 10M23 kepada RM4.88 bilion.
“Pergerakan perdagangan (kecuali transaksi perniagaan secara langsung) pada Oktober ialah pelabur asing (33.6%), pelabur institusi tempatan (39.9%) dan pelabur runcit (26.6%), mencatat purata nilai dagangan harian (ADTV) sebanyak RM2.24 bilion (September: RM2.4 bilion),” kata Wong.
Wong berkata, saham-saham bank menyaksikan aliran keluar pelabur asing paling teruk pada bulan Oktober (mengikut nilai), iaitu Hong Leong Bank, Maybank, Public Bank, RHB Bank dan CIMB.
Sebaliknya, pembelian pelabur asing pada bulan itu tertumpu kepada YTL Corp, YTL Power, Inari, Sunway dan Sime Property.
“Bagi 10M23, jualan bersih pelabur asing tertinggi ialah dalam Public Bank, CIMB, Petronas Chemicals, RHB Bank, Hong Leong Bank; manakala pembelian teratas ialah YTL Power, Gamuda, YTL Corp, Malaysia Airports dan Maybank,” tambahnya.
Berkenaan bon ringgit pula, Wong berkata ia menyaksikan aliran keluar kedua pada September yang berjumlah RM4.4 bilion berbanding RM5 bilion bulan sebelumnya, berikutan trend menurun dalam bon global dan kekuatan dolar Amerika Syarikat mempengaruhi sentimen risiko di rantau
“Pengeluaran ini kebanyakannya disebabkan instrumen diskaun jangka pendek (susut RM4.5 bilion bulan ke bulan), manakala pegangan asing dalam MGS+GII (Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan) sedikit berubah pada RM252.1 bilion.
“Jumlah pegangan asing jatuh kepada RM269.7 bilion pada akhir September, dan aliran masuk kumulatif setakat ini berkurang kepada RM23 bilion daripada RM32.4 bilion pada kemuncaknya dalam Julai 2023. Saham asing MGS dan MGS+GII masing-masing turun kepada 35.4% dan 23.1%,” katanya. - DagangNews.com








