Pelabur asing beli RM465.5 juta ekuiti tempatan bagi minggu kelima berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing beli RM465.5 juta ekuiti tempatan bagi minggu kelima berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Pelabur asing meneruskan rentak belian bersih mereka di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut dengan mencatat sejumlah RM465.5 juta minggu lalu berbanding RM130.5 juta minggu sebelumnya.

 

MIDF Research berkata ia merupakan minggu yang menyaksikan belian bersih pelabur asing setiap hari, yang kali terakhir berlaku pada minggu berakhir 24 Februari 2023.

 

Mereka mencatatkan belian bersih RM800,000 pada Isnin, diikuti Selasa (RM84.5 juta), Rabu (RM209.7 juta), Khamis (RM66.3 juta) dan Jumaat (RM104.2 juta).

 

“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk pelabur asing adalah perkhidmatan kewangan (RM274.3 juta), teknologi (RM66 juta) dan perladangan (RM65 juta).

 

“Manakala sektor dengan aliran keluar mereka adalah adalah penjagaan kesihatan (RM72.2 juta), REIT (RM22 juta) dan tenaga (RM700, 000),” kata firma tersebut dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Setakat ini, pelabur asing telah mencatatkan jualan bersih berjumlah RM2.46 bilion

 

Sebaliknya, pelabur institusi tempatan kekal sebagai penjual bersih ekuiti domestik untuk minggu kelima berturut-turut selepas menjual RM321.9 juta minggu lepas.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pelabur institusi tempatan hanya membeli bersih RM23 juta pada Isnin dan menjual sehingga Jumaat.

 

Setakat ini, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih dengan merekodkan sejumlah RM2.68 bilion.

 

Seperti institusi tempatan, pelabur runcit tempatan turut menjual bersih untuk minggu kelima berturut-turut pada kadar yang lebih tinggi iaitu RM143.7 juta berbanding RM8.5 juta pada minggu sebelumnya.

 

Setakat ini, peruncit tempatan telah menjual bersih RM220.1 juta.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat penurunan dalam nila purata dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur runcit dan pelabur institusi tempatan, masing-masing sebanyak 2.4% dan 5.8%,manakala pelabur asing kekal tidak berubah,” katanya.  - DagangNews.com