KUALA LUMPUR 26 Jun - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah dipilih untuk menerajui usaha penyahkarbonan negara dalam industri maritim dan memupuk pertumbuhan inklusif melalui infrastruktur mampan di Asia Tenggara.
PTP merupakan usaha sama antara MMC Corporation Berhad dan APM Terminal yang berpangkalan di Hague, Netherlands.
Pemilihan pelabuhan tersebut menjadikannya sebahagian daripada perkongsian infrastruktur atau Partnerships for Infrastructure (P4I), iaitu projek kerajaan kepada kerajaan (G2G) antara Malaysia dan Australia.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata syarikat tersebut berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada projek itu dan bercita-cita memupuk pertumbuhan inklusif, khususnya di Malaysia.
“PTP komited untuk membantu usaha Malaysia dalam menyahkarbonkan industri maritim negara justeru memangkin komitmen Malaysia dan global,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen menambah bahawa mereka berbesar hati diiktiraf oleh kedua-dua kerajaan Malaysia dan Australia ke atas komitmen syarikat terhadap kemampanan.
“Kami memperoleh peluang bekerjasama rapat dengan kedua-dua pihak, terutamanya melalui pasukan projek P4I dan berharap kejayaan pelaksanaan inisiatif ini akan menjadi pengubah permainan dalam mentransformasikan industri maritim di Malaysia.
“Kemampanan adalah teras kepada perniagaan PTP dan kami komited untuk mencari cara inovatif untuk memperkasakan agenda dari segi pengurusan perniagaan, operasi sebagai pengendali terminal, kepada sokongan dan sumbangan kepada objektif pembangunan masyarakat negara,” tambahnya.
PTP telah mengumumkan perkara tersebut semasa pembentangan Laporan Pelaksanaan GV2050 (Fasa 1) di Malaysia semasa majlis Minggu Maritim Malaysia 2023.
Syarikat itu turut menerima pengiktirafan daripada Jabatan Laut Malaysia sebagai perintis projek khas di Malaysia melalui inisiatif Green Tug dan Pilot Boat.
Dengan pelan hala tuju penyahkarbonan komprehensif sedia ada, PTP menerima pengiktirafan tersebut sebagai pengendali pelabuhan tunggal selepas berjaya menyelesaikan semua keperluan yang ditetapkan oleh kedua-dua Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), iaitu agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - DagangNews.com







