Pekerja Malaysia kini lebih utamakan akses internet - laporan Cisco | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pekerja Malaysia kini lebih utamakan akses internet - laporan Cisco

Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Hana Raja

KUALA LUMPUR 26 April - Indeks Jalur Lebar terkini Cisco menunjukkan golongan pekerja Malaysia lebih menghargai akses internet berbanding sebelum ini, memandangkan cara kerja hibrid terus diamalkan pada 2022. 

 

Para pekerja percaya bahawa akses sejagat kepada internet yang pantas dan boleh dipercayai adalah penting bagi pertumbuhan ekonomi dan masyarakat. 

 

Hasil kajian tersebut adalah berdasarkan tinjauan global membabitkan hampir 60,000 responden di 30 pasaran, termasuk Malaysia, mengenai akses, kualiti dan penggunaan jalur lebar di rumah mereka.

 

Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Hana Raja berkata, cara kerja hibrid akan terus menjadi amalan  utama bagi tenaga kerja di Malaysia, justeru, akses kepada internet berprestasi tinggi, selamat dan boleh dipercayai adalah amat penting.

 

Katanya, ia dapat membantu pekerja dapat berfungsi dengan berkesan dan produktif apabila mereka tidak berada di pejabat.

 

“Kami di Cisco bekerja rapat dengan pembekal perkhidmatan untuk menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan internet terbaik dalam kelasnya di seluruh Malaysia. 

 

"Dengan adanya kebolehan untuk bekerjasama dengan lancar dan selamat di mana-mana sahaja, ini dapat menjamin pembentukan tenaga kerja hibrid yang maju pada masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

CISCO
Sumber : Indeks Jalur Lebar Cisco

 

 

Berdasarkan kajian itu, didapati 80% responden Malaysia berkata bahawa semua orang harus mendapat sambungan selamat kepada internet yang pantas dan boleh dipercayai, tanpa mengira lokasi. 

 

Selain daripada kelajuan, para pekerja juga memerlukan tahap kebolehpercayaan dan kualiti yang tinggi. 

 

Sebanyak 81% pula berpendapat, kebolehpercayaan dan kualiti sambungan jalur lebar adalah penting bagi mereka. 

 

Kebergantungan pada capaian internet berprestasi tinggi adalah berdasarkan fakta bahawa lebih 8 daripada 10 (84%) pekerja Malaysia aktif menggunakan jalur lebar di rumah selama 4 jam atau lebih setiap hari. 

 

 

WFH

 

 

Sementara itu, 70% isi rumah di Malaysia mencatatkan lebih daripada 3 orang menggunakan internet pada masa yang sama.

 

Ramai pekerja jarak jauh memerlukan ketersambungan yang melebihi tahap asas bagi menyokong kehidupan. 

 

Untuk memenuhi permintaan sambungan jalur lebar mereka, lebih 1 daripada 2 (52%) pekerja Malaysia yang ditinjau merancang untuk menaik taraf perkhidmatan internet mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

Didapati 54% tenaga kerja Malaysia kini bergantung pada internet rumah untuk bekerja dari rumah atau menjalankan perniagaan. 

 

Sehubungan itu, akses kepada internet yang selamat dan boleh dipercayai adalah lebih penting sekarang berbanding sebelum ini untuk memastikan kelancaran operasi, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak mempunyai sumber dan infrastruktur IT yang sama seperti syarikat besar.

 

CISCO
Sumber : Indeks Jalur Lebar Cisco

 

 

Sementara itu, Naib Presiden Kanan & Pegawai Inovasi Global Cisco, Guy Diedrich berkata, sehingga kini, lebih 40% penduduk dunia masih tidak mempunyai sambungan internet. 

 

"Jika kira-kira 3.4 bilion penduduk ini tidak dapat dihubungkan dalam tempoh 10 tahun yang akan datang, dunia bakal menghadapi risiko peningkatan jurang digital.

 

“Sebagai peneraju perniagaan dan teknologi, kami perlu memainkan peranan dalam memastikan arus peningkatan zaman digital dapat membantu semua lapisan masyarakat, masa adalah terhad," katanya.

 

Data daripada kaji selidik Indeks Jalur Lebar Cisco menekankan kebimbangan tentang jurang digital ini. 

 

Sebanyak 67% responden Malaysia mengatakan akses kepada jalur lebar mampu milik dan boleh dipercayai akan menjadi isu utama bagi orang ramai apabila ketersambungan bertambah penting untuk menyahut peluang pekerjaan dan pendidikan. 

 

Didapati 3 daripada 5 (60%) tenaga kerja Malaysia berpendapat, mereka tidak dapat mengakses perkhidmatan kritikal seperti temu janji perubatan dalam talian, pendidikan dalam talian, penjagaan sosial dan perkhidmatan utiliti semasa tempoh sekatan pergerakan, disebabkan sambungan jalur lebar yang tidak memuaskan. - DagangNews.com