KUALA LUMPUR 7 April - Pekat Group Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM38.25 juta daripada Sun Estates Sdn. Bhd. membabitkan projek solar ladang fotovoltaik berskala besar (LSSPV) dengan kapasiti 10MWac di Batang Padang, Perak.
Kumpulan menerima surat tawaran bertarikh 25 Mac 2022 bagi projek tersebut menerusi unitnya, Pekat Solar Sdn. Bhd., yang juga anak syarikat milik penuh Pekat Teknologi Sdn. Bhd., menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Ia berhubung bidaan tender yang dikemukakan kepada Sun Estates untuk menjadi kontraktor turnkey kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek tersebut.
Projek itu dijangka siap pada 15 Disember 2023 atau sebagaimana dipersetujui bersama antara Pekat Solar dan Sun Estates.
"Kontrak ini meliputi semua kerja yang diperlukan untuk menyiapkan LSSPV dan selaras dengan keperluan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Tenaga, Sun Estates dan perunding yang dilantik oleh Sun Estates," katanya.
Sun Estates merupakan anak syarikat 51% pegangan PB Green Farm Sdn. Bhd. manakala 49% dimiliki Mass Team Industries (M) Sdn. Bhd.
Menurutnya, sekiranya Pekat Solar gagal menyiapkan kerja EPCC pada tarikh siap, syarikat hendaklah membayar Sun Estates melalui ganti rugi tercair sejumlah wang seperti yang dinyatakan dalam perjanjian EPCC.
Katanya, projek tersebut tidak memberi kesan kepada modal saham dan struktur pemegangan saham syarikat.
"Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan seterusnya sehingga projek itu disiapkan," jelasnya. -DagangNews.com








