Pekat catat untung bersih lebih rendah sebanyak RM4.4 juta pada Q1 | DagangNews Skip to main content

Pekat catat untung bersih lebih rendah sebanyak RM4.4 juta pada Q1

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Mei - Pekat Group Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM4.4 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (Q1), susut 2.2% daripada RM4.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tempoh itu, bagaimanapun meningkat 9.2% kepada RM45.49 juta berbanding RM41.66 juta bagi tahun kewangan 2021, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Peningkatan itu terutamanya didorong hasil yang lebih tinggi menerusi segmen perdagangan yang mencatat pendapatan sebanyak RM10.4 juta daripada RM7.1 juta bagi tahun sebelumnya.

 

Ini berikutan peralihan kepada fasa endemik membolehkan industri beroperasi pada kapasiti penuh dan tanpa sekatan.

 

Oleh itu, terdapat lebih banyak pesanan daripada segmen perdagangan yang dipenuhi dan dihantar kepada pelanggan berbanding suku pertama 2021.

 

Bagi perbandingan suku ke suku, hasil kumpulan susut 16.4% terutamanya disebabkan hasil yang lebih rendah daripada segmen solar fotovoltaik (PV) sebanyak RM26.9 juta berbanding RM34.9 juta yang direkodkan pada suku keempat 2021.

 

Mengenai prospek kumpulan, Pekat menjangkakan lebih banyak kuota tenaga boleh diperbaharui (RE) akan ditawarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) pada tahun-tahun akan datang termasuk tender projek solar berskala besar (LSS) dan tambahan kuota Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang mana kumpulan akan mengambil bahagian dengan sewajarnya.

 

Katanya, dengan perolehan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM38.3 juta baru-baru ini bagi projek berkapasiti 10MWac di Batang Padang, Perak akan menjadi rujukan kumpulan untuk melaksanakan dan menyiapkan projek LSS yang akan memanfaatkannya dalam tender projek LSS pada masa depan.

 

"Penilaian awal dan kerja tapak telah dimulakan dan projek itu dijangka siap pada penghujung 2023," katanya.

 

Sejak akhir suku sebelumnya, Pekat telah memperoleh kontrak baharu dengan nilai gabungan RM61.3 juta, yang mana sebanyak RM50.2 juta adalah daripada segmen PV solar manakala RM11.1 juta menerusi segmen E&LP. 

 

Susulan kenaikan harga bahan mentah dan ketidaktentuan kadar tukaran asing, kumpulan menjangkakan pasaran akan terus mencabar.

 

"Namun, Pekat berada dalam kedudukan yang baik untuk mengembangkan nilai projeknya dan meningkatkan kecekapan operasi," tambahnya. -DagangNews.com