Pasaran buruh mengukuh, kadar pengangguran menurun 3.9% - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran buruh mengukuh, kadar pengangguran menurun 3.9% - DOSM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 31 Julai - Pasaran buruh terus mengukuh tahun lepas dengan kadar pengangguran menurun kepada 3.9% dan guna tenaga yang lebih tinggi, menurut Statistik Tahunan Tenaga Buruh Malaysia 2022, dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, persekitaran ekonomi yang positif sepanjang tahun itu membawa kepada situasi tenaga buruh yang menggalakkan susulan lebih banyak peluang pekerjaan dari pelbagai industri telah diwujudkan.

 

"Pemulihan daripada kemelesetan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 telah mencapai titik perubahan pada tahun ini, mendorong kepada perubahan positif dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai industri.

 

"Selain itu, konsep pekerjaan fleksibel dengan bekerja secara jarak jauh dan aturan kerja yang fleksibel telah menjadi satu kelaziman. Ini memberikan lebih fleksibiliti kepada pekerja dan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan," katanya.

 

Katanya tiga negeri mencatatkan kadar pengangguran lebih tinggi daripada peringkat nasional pada 2022, iaitu Sabah pada 7.5%, Wilayah Persekutuan Labuan (7.2%) dan Perak (4.6%).

 

Mohd Uzir berkata, pada 2022 tenaga buruh di Malaysia meningkat 1.4% kepada 16.02 juta orang manakala kadar penyertaan tenaga buruh direkodkan pada 69.3%.

 

Bilangan penduduk bekerja pula adalah seramai 15.39 juta orang iaitu pertambahan 2.2% berbanding 15.06 juta pada 2021, katanya.

 

 

dosm

 

 

Beliau berkata, dari segi status pekerjaan, kategori penduduk bekerja adalah 78.3% merangkumi 12.05 juta penduduk manakala bilangan penduduk bekerja sendiri meliputi 15.1% dengan penglibatan 2.33 juta orang.

 

Kategori pekerjaan separuh mahir merupakan komposisi terbesar dengan 58.4% atau 8.99 juta orang daripada jumlah guna tenaga, diikuti kategori mahir (29.6%, 4.56 juta) dan kategori berkemahiran rendah pada 12% atau 1.84 juta, katanya.

 

Merumuskan keseluruhan kedudukan tenaga buruh pada 2022 beliau berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan lebih sederhana tahun ini, lapor Bernama. 

 

"Peningkatan bilangan  ketibaan pelancong akan terus menyokong pemulihan dalam subsektor pelancongan  seiring dengan kedudukan pasaran yang bertambah baik, terutamanya dalam sektor perkhidmatan.

 

"Berikutan aktiviti ekonomi yang terus berkembang pada tahun 2023, pasaran buruh dijangka kekal stabil," katanya. - DagangNews.com