KUALA LUMPUR 22 April - Pasaran bon tempatan menyaksikan aliran keluar asing bersih yang tinggi pada Mac 2022 berjumlah RM4 bilion setelah merekodkan aliran masuk dalam tempoh 2 bulan pertama.
Menurut Malaysian Rating Corp. Bhd. (MARC), pasaran bon kerajaan tempatan mengalami penjualan apabila komposisi pegangan asing dalam kerajaan tempatan jatuh kepada 25.1% pada Mac berbanding 25.5% pada Februari 2022.
Katanya, secara keseluruhan, bahagian pegangan asing dalam pasaran bon tempatan menjunam kepada 14.7% (Februari: 14.9%).
"Bagaimanapun, ringgit hanya menyusut sedikit kepada RM4.2040 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Mac disokong oleh harga komoditi yang tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) sebanyak 25 mata asas pada Mac 2022, kenaikan kadar pertama sejak Disember 2018 untuk menangani inflasi yang semakin meningkat.
Pelabur menjangkakan kenaikan FFR yang lebih besar sebanyak 50 mata asas pada Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan datang.
Pada Mac 2022, jumlah terkumpul Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)/Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) menyusut kepada RM926.3 bilion daripada RM930 bilion yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
MARC berkata, penurunan itu disebabkan oleh lonjakan dalam jumlah kertas matang kepada RM17.5 bilion (MGS: RM10.7 bilion; GII: RM6.8 bilion) selepas penebusan sifar selama 3 bulan berturut-turut.
"Terbitan kasar juga turun sedikit pada RM13.5 bilion (Februari: RM14.5 bilion), diheret oleh segmen GII yang turun kepada RM5 bilion (Februari: RM9.5 bilion).
"Ini di sebalik terbitan MGS yang lebih tinggi berjumlah RM8.5 bilion (Februari: RM5 bilion)," katanya.
Menurut agensi penarafan itu, tidak terlepas daripada kemerosotan bon global, kerajaan tempatan mengalami tekanan jualan yang tinggi, dengan hasil bulanan menutup paras tertinggi dalam tempoh lebih 2 tahun.
Jelasnya, inflasi meningkat dengan begitu cepat dalam kalangan negara ekonomi utama, mencetuskan kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah yang lebih agresif, yang meningkatkan kegelisahan dalam kalangan pelabur bon.
"Tetapi, seperti dijangkakan, Bank Negara Malaysia (BNM) masih mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras rendah, 1.75%.
"BNM mengulangi pendirian berhati-hatinya, bertentangan dengan pendirian Fed, memandangkan pemulihan ekonomi masih sederhana dan tidak sekata," jelasnya.
Dalam laporan Tinjauan Monetari dan Ekonomi 2021, bank pusat turut mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 yang lebih rendah sekitar 5.3 hingga 6.3% berbanding sebelum ini, antara 5.5 hingga 6.5%.
"Oleh itu, kami mengekalkan pandangan bahawa perubahan mendadak dalam dasar monetari tidak mungkin berlaku, dan penetapan monetari akan kekal cukup akomodatif untuk beberapa waktu.
"Jika tidak, berdasarkan data yang ada, kami berpendapat bahawa penarikan semula BNM hanya akan berlaku pada separuh kedua 2022, dengan kuantum kenaikan OPR dibuat secara beransur-ansur," katanya. - DagangNews.com








