Perjanjian mutakhir Widad dengan Hextar Technologies dilihat menjanjikan potensi pertumbuhan dalam jangka panjang, tetapi ada harga yang perlu dibayar. Ia menjejaskan pendapatan dalam masa terdekat, mengurangkan pegangan saham serta timbul persoalan tentang siapakah sebenarnya yang memegang tampuk kepimpinan.
Widad Group Berhad, sebuah syarikat yang mengalami kerugian berterusan dan dibebani hutang yang tinggi, kini berada dalam dilema. Syarikat ini benar-benar memerlukan talian hayat, tetapi langkah untuk menyelamatkannya ini mungkin menjejaskan prospeknya dalam masa terdekat.
Pada 15 April 2025, Widad menandatangani perjanjian dengan Guper Bonded Warehouse Sdn Bhd (GBW) untuk memperoleh empat lot tanah perindustrian pegangan bebas seluas 10.395 ekar di Negeri Sembilan dengan harga RM31.3 juta. GBW merupakan anak syarikat milik penuh Hextar Technologies Solutions Berhad (HexTech).
Tanah ini dirancang untuk dijadikan sebagai sandaran kepada kemasukan Widad dalam bidang pembangunan hartanah komersial, iaitu langkah pempelbagaian dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan berjumlah RM135.29 juta. Ia akan merangkumi kediaman pekerja, bilik pameran, rumah penjagaan dan ruang runcit.
Projek dengan kos pembangunan kasar yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM105.5 juta ini dijangka bermula pada tahun 2027 dan siap pada tahun 2029. Sekilas pandang, ia dilihat seperti satu pertaruhan strategik untuk masa depan.

Namun, perkara yang merisaukan adalah cara pembayaran bagi urus niaga ini. Pemerolehan ini tidak akan dibayar secara tunai, sebaliknya melalui penerbitan 993.65 juta saham baharu pada harga 3.15 sen sesaham kepada penjual, iaitu GBW.
Kaedah ini akan memberikan HexTech pegangan sebanyak 24.15%, menjadikannya pemegang saham terbesar Widad.
Dato’ Ong Choo Meng, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif HexTech, sudah pun memiliki 4.9% pegangan dalam Widad1 . Adik perempuan beliau, Tzu Chuen pula memegang 2.39%. Penerbitan saham baharu ini akan menyaksikan pengaruh mereka dalam Widad meningkat dengan ketara.
Sementara itu, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Widad, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah, bakal melihat pegangannya menyusut daripada 13.61% kepada 10.32%.

Perubahan dinamik antara pemegang saham ini memberikan bayangan akan berlaku penjajaran semula kuasa dalam syarikat. Namun di sinilah timbulnya dilema. HexTech tidak berniat untuk kekal lama.
Dalam pemfailannya, HexTech menyatakan dengan jelas bahawa mereka merancang untuk menjual saham Widad secara berperingkat bagi membiayai usaha teknologi dan modal kerja mereka. Tiada garis masa ditetapkan bagi pelupusan penuh saham ini.
Namun, adalah dijangkakan bahawa pemegang saham utama yang baharu akan bertindak sebagai penjual, sekaligus meletakkan saham Widad, yang telah menjadi saham murah sejak setahun yang lalu, di bawah tekanan jualan.
Bagi pemegang saham minoriti, terbitan saham baharu dalam jumlah yang besar untuk membiayai pembelian ini akan menyebabkan pengurangan yang ketara terhadap peratus pemilikan dan mungkin menghakis nilai saham dalam jangka pendek.
Untuk Widad pula, jumlah saham yang meningkat secara mendadak ini akan menyebabkan pengurangan yang ketara kepada pendapatan sesaham (EPS).
Adakah pemerolehan tanah di Seremban benar-benar berbaloi?
Tanah yang dimaksudkan terletak kira-kira 5 kilometer di utara Pekan Nilai dan kira-kira 30 km dari pusat bandar Seremban.
Difahamkan bahawa terdapat kawasan perindustrian yang telah dibangunkan dalam kawasan tanah tersebut, dikelilingi oleh perbandaran kediaman dan pembangunan komersial berskala besar. Berdasarkan maklumat yang diberikan, kawasan ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.
Namun, persoalannya masih kekal sama: Jika tanah ini benar-benar berpotensi, mengapakah HexTech menjualnya?

Menurut pengumuman HexTech, penjualan ini bertujuan untuk “merungkai nilai” dan “menjana pendapatan” daripada tanah tersebut. Jika Tanah itu begitu bernilai, bukankah lebih baik HexTech membangunkannya sendiri, memandangkan kumpulan Hextar sendiri terlibat dalam dalam industri hartanah?
Sebaliknya, mereka hanya menerima saham dalam syarikat pembinaan yang sedang rugi, mempunyai hutang yang tinggi dan masa depan yang agak suram.
Perkara ini menimbulkan persoalan sama ada langkah ini benar-benar munasabah dari segi komersial, dan adakah nilai tanah ini sehebat yang digambarkan? Adakah Widad membeli “permata tersembunyi”, atau hanya menjadi saluran untuk melepaskan aset yang kurang diminati?
Bagi HexTech, memegang saham Widad turut menyebabkan syarikat itu terkena tempias risiko turun naik harga saham. Malah, terdapat risiko pasaran jika saham itu dijual di pasaran terbuka, iaitu ada kemungkinan harga sebenar mungkin lebih rendah berbanding dengan nilai asal urus niaga, yang disebabkan oleh perbezaan antara harga sebenar yang boleh direalisasi dengan harga terbitan saham tersebut.
Tiada Tanda Pemulihan Dalam Masa Terdekat
Hakikatnya, Widad masih bergelut dari segi kewangan. Sejak tahun kewangan 2022, syarikat ini mencatatkan kerugian dan jumlah kerugian bersih melonjak daripada RM6.13 juta pada dua tahun kewangan yang lalu kepada RM23.9 juta pada tahun kewangan 2024.
Jumlah pendapatan pula adalah di antara RM137.74 juta hingga RM230.61 juta, manakala simpanan tunai menyusut 15.5% tahun ke tahun kepada RM131.73 juta. Walaupun jumlah pinjaman berkurang sedikit kepada RM422.63 juta, nisbah hutang kepada ekuiti Widad masih membimbangkan pada 0.98 kali.
Widad kini mula menjual asetnya bagi mengurangkan hutang, termasuklah penjualan sebuah bangunan pejabat 12 tingkat di Bukit Damansara baru-baru ini pada harga RM41.5 juta secara tunai, walaupun penjualan ini memberikan kerugian.
Selepas Cadangan Pemerolehan Tanah di Seremban dimuktamadkan, Widad dijangka akan menanggung komitmen kewangan tambahan untuk pembangunan yang dirancang, termasuk kos pembinaan, yuran perunding dan sebagainya.
Syarikat berhasrat untuk membiayai cadangan pembangunan ini melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman, pengumpulan dana ekuiti serta pembiayaan hutang. Memandangkan tahap hutang Widad yang tinggi serta kerugian yang berterusan, syarikat mungkin berdepan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan yang diperlukan.
Tambahan pula, situasi kewangan ini juga boleh menyebabkan kos pembiayaan menjadi lebih tinggi, sekaligus meningkatkan jumlah kos keseluruhan projek dan menjejaskan aliran tunai serta keuntungan Widad pada masa hadapan.

Selain itu, pemegang saham minoriti disarankan supaya mendapatkan penjelasan daripada lembaga pengarah dan pihak pengurusan mengenai kadar pulangan dalaman (internal rate of return, IRR) serta tempoh pulangan modal yang telah dibincangkan dan dipertimbangkan sebelum mereka mencadangkan urus niaga ini.
Harga saham Widad kekal tidak berubah pada 3.5 sen setakat 28 April 2025, menjadikan permodalan pasaran syarikat bernilai kira-kira RM109 juta.
Setakat tahun ini, harga saham Widad telah menyusut sebanyak 12.5%.
Hala Tuju yang Samar
Melihat dari sudut tadbir urus korporat, perubahan dalam struktur pemilikan saham ini menimbulkan kebimbangan tentang potensi kelompongan dalam tampuk kepimpinan syarikat.
Dengan pengaruh Muhammad Ikmal yang semakin berkurangan dan HexTech pula berhasrat untuk keluar, Widad berdepan risiko kehilangan hala tuju tanpa kepimpinan strategik yang jelas.
Situasi ini menimbulkan persoalan, siapakah yang bakal menerajui syarikat ini? Apakah perubahan yang berlaku dalam lembaga pengarah atau pengurusan, dan apakah hala tuju syarikat selepas ini?
Walaupun urus niaga ini dilihat menjanjikan potensi pertumbuhan dalam jangka panjang, terdapat harga yang perlu dibayar; ia menjejaskan pendapatan dalam masa terdekat, mengurangkan pegangan saham serta timbul persoalan tentang siapa sebenarnya yang memegang tampuk kepimpinan.
Selagi tiada penjelasan diberikan, Widad ibarat layang-layang yang terputus talinya. - DagangNews.com








