Panda Eco System sasar kumpul RM17.5 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Panda Eco System sasar kumpul RM17.5 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - Panda Eco System Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM17.5 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia menerusi terbitan 109.29 juta saham baharu berdasarkan harga 16 sen sesaham.

 

Berdasarkan prospektus yang diterbitkan di Bursa Malaysia, penilaian itu memberikan penyedia rumusan pengurusan runcit permodalan pasaran sebanyak RM107.4 juta, berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 671.19 juta saham selepas penyenaraiannya.

 

Daripada jumlah keseluruhan, sejumlah 33.56 juta atau 5% daripada modal saham yang diperbesarkan adalah bagi langganan orang ramai dengan separuh daripadanya adalah bagi pelabur awam biasa dan separuh lagi untuk pelabur awam Bumiputera.

 

Bagi bahagian selebihnya, 42.77 juta atau 6.4% daripada modal saham yang diperbesarkan dikhaskan untuk orang yang layak seperti pengarah atau pekerja, dan baki 32.95 juta saham akan dijual melalui penempatan persendirian.

 

Pemegang saham sedia ada juga menawarkan untuk menjual 61.81 juta saham, mewakili 9.2% daripada modal saham yang diperbesarkan.

 

Sebelum terbitan IPO, Panda Eco dikawal oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Loo Chee Wee dan Ketua Pegawai Teknologi, Tay Kheng Seng melalui Goldcoin Capital Sdn Bhd, yang memiliki 94.2% pegangan saham dalam syarikat itu.

 

Selepas penyenaraian awam, pegangan saham Goldcoin akan dicairkan kepada 69.6%.

 

Daripada hasil yang dikumpul, 17.2% akan digunakan untuk mengembangkan ibu pejabat syarikat, 16.2% bagi modal kerja, 15.6% untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian, 15.5% untuk penyelidikan dan pembangunan, 15.1% untuk mewujudkan hab perkhidmatan tambahan dan pengembangan tenaga kerja, manakala  10.8% bagi pengembangan wilayah di ASEAN.

 

Bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2023 (1HFY23), kumpulan itu melaporkan untung bersih sebanyak RM2.75 juta, meningkat 2.7% daripada RM2.67 juta setahun lalu, manakala hasil meningkat 22% kepada RM10.8 juta daripada RM8.88 juta.

 

M&A Securities Sdn Bhd ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO. - DagangNews.com