KUALA LUMPUR 7 Mac - Pendapatan berasaskan pembungkusan dan tenaga boleh diperbaharui (RE) dijangka melonjakkan pendapatan Mega First Corp. Bhd. bagi tahun kewangan 2022 (FY22), menurut Public Investment Bank Research.
Ini membolehkan firma itu mengekalkan saranan 'outperform' terhadap Mega First dengan harga sasaran tidak berubah pada RM4.36.
Penganalisisnya, Chong Hoe Leong berkata, perniagaan pembungkusan dijangka memacu pertumbuhan tahun ini berdasarkan penyatuan pendapatan setahun penuh daripada unit pembungkusan huluan baharu, Stenta, dan kapasiti pengeluaran baharu.
Katanya, cabang pelaburan baharunya menerusi Edenor Technology dalam perniagaan oleokimia dan kimia khusus yang dijalankan secara usaha sama, dijangka mencatatkan keuntungan tahun ini.
"Pada masa sama, pengurusan juga berkongsi pelan pembayaran dividennya kerana ia menyasarkan 30% hingga 40% dengan peningkatan beransur-ansur sebanyak 10% setiap tahun.
"Oleh itu, bagi FY22, kami menyaksikan pertumbuhan pendapatan Mega First yang kukuh didorong pendapatan berasaskan pendapatan manakala pendapatan menerusi RE pula dijangka kekal stabil," katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara keseluruhan, Mega First telah memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM417 juta bagi FY22 dengan RE merangkumi 63% daripada jumlah itu diikuti pembungkusan sebanyak 36%.
Di bawah segmen RE, capex tersebut akan digunakan untuk pembinaan turbin kelima di loji Don Sahong Hydropower, Laos dan menambah projek solar atas bumbung.
Sementara itu, segmen pembungkusan pula akan menyaksikan pembinaan kilang mega yang jumlah ruang pengeluaran seluas 273,000 kaki persegi di Melaka di bawah Hexachase manakala Stenta pula akan membina kilang baharu di Bangi, Selangor.
Hoe Leong berkata, selain menyediakan pembungkusan makanan dan minuman (F&B), kumpulan juga merancang untuk mempelbagaikan perniagaan dalam pembungkusan elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor dan alatan perubatan.
"Walaupun turut berdepan tekanan kos, Stenta boleh melepaskannya dengan mudah kepada pemain hiliran manakala ia lebih sukar buat Hexachase kerana keupayaannya yang rendah untuk meneruskan kos tambahan dalam persaingan yang sengit," jelasnya.
Kumpulan mengambil alih Edenor alih pada November 2021, dan kemudiannya mengalami kerugian sebanyak RM6.6 juta berikutan penyatuan keputusan 2 bulan pada 2021.
"Bagaimanapun, berdasarkan anggaran, ia boleh menjana hasil tahunan sebanyak RM1.5 bilion. Dengan menganggarkan 5% margin bersih, ia boleh menyumbang sekurang-kurangnya RM75 juta keuntungan atau 10% (berdasarkan 50% pegangan) kepada anggaran pendapatan FY22 kami," tambahnya.
Di samping itu, menurutnya, kumpulan juga memberi fokus untuk mengumpul dana yang akan digunakan untuk melaksanakan peluang pengambilalihan dan penggabungan (M&A) yang bersesuaian pada masa hadapan.
Setakat 12.26 tengah hari ini, harga saham Mega First susut 4 sen atau 1.13% kepada RM3.49 dengan 778,300 saham diniagakan. -DagangNews.com








