Optimax diramal catat keuntungan lebih baik bermula suku kedua didorong permulaan operasi cawangan di Kemboja | DagangNews Skip to main content

Optimax diramal catat keuntungan lebih baik bermula suku kedua didorong permulaan operasi cawangan di Kemboja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - Apex Securities meramalkan Optimax Holdings Bhd mencatatkan keuntungan lebih baik pada suku kedua dan ketiga tahun ini didorong permulaan operasi cawangan di Kemboja dan pelancaran klinik estetik di Atria. 

 

Katanya, untung bersih kumpulan itu pada 1QFY24 merosot sebanyak 1.2% kepada RM3 juta dan keuntungan kecil itu kekal walaupun terpaksa menanggung kos operasi yang lebih tinggi pada FY23.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil bagi suku tersebut melonjak 8.1% kepada RM28.2 juta, disebabkan oleh usaha pemasaran yang berkesan melalui promosi dan sumbangan berterusan daripada klinik/pusat satelit yang baharu ditubuhkan.

 

Walaupun terdapat sedikit penurunan dalam keuntungan bersih teras, terdapat peningkatan sebanyak 7.4% dalam pembedahan laser berbanding 1QFY23 disokong oleh rawatan ReLEx SMILE PRO.

 

"Kami percaya bahawa industri penjagaan kesihatan kekal teguh berikutan peningkatan permintaan dan kesedaran dalam kalangan pesakit tempatan dan asing selain ibu bapa yang fokus terhadap kesihatan anak-anak.

 

"Kami menjangkakan pengembangan Pusat Jagaan Ambulatori (ACC) seperti di Kota Kinabalu, Kemboja, dan Hospital Mata Kempas dan Hospital Setia Alam yang akan datang akan menjadi pemacu kepada pertumbuhan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Asia terkenal dengan kadar rabun yang tinggi berpunca daripada faktor persekitaran dan genetik seperti masa skrin yang dilanjutkan dan tekanan akademik.

 

Katanya, Malaysia mempunyai 13.4% kadar rabun di kalangan semua murid sekolah di seluruh dunia.

 

"Kami meramalkan prospek industri penjagaan kesihatan kekal teguh, sejajar dengan agenda kerajaan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 72 sen sesaham. - DagangNews.com