OPR mungkin meningkat sehingga tiga kali tahun ini, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OPR mungkin meningkat sehingga tiga kali tahun ini, kata RHB Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Jan - RHB Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) antara 3 hingga 3.5% tahun ini. 

 

Firma itu turut menjangkakan kadar dana persekutuan (FFR) Amerika Syarikat (AS) akan mencecah sekitar 5 hingga 5.25% pada 2023.

 

Menurutnya, aliran daripada peningkatan terkumpul sebanyak 100 mata asas pada 2022 serta kemungkinan kenaikan OPR antara dua hingga kali pada 2023, bermakna margin faedah bersih (NIM) bank akan melebar semula pada suku keempat 2022 dan berterusan sehingga separuh pertama.

 

"Selain daripada kenaikan OPR, bank telah mendapat manfaat daripada profil pembiayaan yang lebih baik, dengan pertumbuhan kukuh dalam deposit CASA sejak dua tahun lalu.

 

"Penurunan NIM sepatutnya mulai hilang pada separuh kedua 2023, kerana kos pendanaan meningkat berikutan kesan ketinggalan daripada penetapan harga semula deposit serta peningkatan persaingan untuk deposit pelanggan," katanya dalam nota kajian.

 

Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan 

 

Namun, bank-bank menunjukkan nada berhati-hati terhadap prospek 2023, memberi penekanan kepada ketidaktentuan dalam pertumbuhan global dan ketegangan geopolitik sebagai halangan yang memerlukan langkah berhemah.

 

Pada masa sama, firma itu turut mnejangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan menyederhana kepada 4.5% tahun ini berbanding anggaran 7.5 hingga 8% bagi 2022.

 

Pertumbuhan akan dipacu terutamanya permintaan domestik yang berdaya tahan.

 

Menurutnya, indikator pinjaman sistem perbankan menunjukkan permintaan kredit yang lemah, yang boleh dikaitkan dengan peminjam mulai semakin berhati-hati.

 

"Ekoran pertumbuhan KDNK yang lebih perlahan, kami menjangkakan pertumbuhan sistem pinjaman akan menyederhana kepada 5% tahun ke tahun pada 2023, daripada unjuran 5.8% pada 2022," jelasnya. - DagangNews.com