OPR mungkin dikekalkan pada kadar 3 peratus sehingga 2025, kata Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OPR mungkin dikekalkan pada kadar 3 peratus sehingga 2025, kata Kenanga Research

BNM semalam mengekalkan OPR pada 3 peratus. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 12 Julai - Kenanga Research menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) bakal dikekalkan pada 3.0% bukan sahaja bagi tempoh sepanjang tahun ini bahkan mungkin sehingga tahun 2025.

 

Firma penyelidikan itu berkata, langkah ini bertujuan untuk menyokong pertumbuhan domestik yang masih rentan terhadap ketidakpastian global.

 

"Ini termasuk pemulihan China, potensi ekonomi negara maju menjadi perlahan disebabkan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi dan meningkatnya ketegangan geopolitik.

 

"Impak krisis Laut Merah yang sedang berlaku telah menyaksikan kesesakan pelabuhan global dan ketegangan antara Amerika Syarikat dan China terjadi semula," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kata Kenanga Research, mengekalkan pendirian monetari semasa untuk tempoh yang lebih panjang akan membantu mengawal inflasi.

 

Menurut firma itu, hal tersebut selepas rasionalisasi subsidi diesel pada Jun serta ketidakpastian sekitar pelaksanaan dan impak penyasaran subsidi untuk petrol RON95.

 

"Langkah-langkah kerajaan seperti Budi Madani dan peningkatan potensi bantuan tunai, jika harga RON95 dibiarkan mengapung, dijangka dapat mengurangkan kesan inflasi yang lebih tinggi ke atas isi rumah," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kenaikan, BNM kekalkan OPR pada kadar 3 peratus

 

Sementara itu, kata Kenanga Research, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 3% semasa mesyuarat keempat tahun ini adalah seperti jangkaan ramai. 

 

Katanya, keputusan ini sejajar dengan ramalan sepenuhnya semua 22 responden dalam konsensus terkini Bloomberg. 

 

"BNM telah mengekalkan OPR tidak berubah untuk mesyuarat yang ke-7 berturut-turut, selepas kenaikan mengejut pada Mei 2023," ujarnya. - DagangNews.com