Operasi keseluruhan Engtex Group dijangka bertambah baik bermula 4QFY22, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Operasi keseluruhan Engtex Group dijangka bertambah baik bermula 4QFY22, kata CGS-CIMB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Nov - CGS-CIMB menjangkakan operasi keseluruhan Engtex Group Berhad bertambah baik dari 4QFY22 dan seterusnya.

 

Firma itu berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan permintaan produk berkaitan paip dan keluli berkemungkinan meraih semula momentum apabila kontrak projek berkaitan air serta infrastruktur menggunakan paip MS dan DI. 

 

Katanya, keadaan operasi akan bertambah baik selepas harga bahan mentah menjadi stabil walaupun berada paras yang tinggi di pasaran dan kuasa menentukan harga yang lebih baik (kemampuan melepaskan kos yang lebih tinggi) selepas permintaan bertambah baik.

 

"Faktor pendorong untuk permintaan paip kumpulan itu didorong oleh kontrak penahan daripada Perbadanan Asset Air Berhad (PAAB) sebagai pembekal eksklusif pelbagai produk paip selain pelan perbelanjaan modal daripada penstrukturan semula operator air negeri.

 

"Rangkaian paip pengedaran huluan baharu di Selangor yang dipelopori skim bekalan air Sungai Rasau, perbelanjaan modal sebanyak RM1 bilion bagi perbelanjaan paip dan program penggantian paip di seluruh negara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, disebabkan kesan positif pembukaan semula ekonomi dan pemulihan dalam aktiviti pembuatan, hasil 3QFY22 dan 9MFY22 masing-masing meningkat 47% dan 36%.

 

Margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 8% pada 9MFY22 (9MFY21: 12%) adalah sejajar dengan anggaran tahun penuh kami .

 

Secara keseluruhan keuntungan teras bersih 9MFY22 menyusut sebanyak 26% kepada RM44 juta. 

 

Firma itu bagaimanapun tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22 hingga FY24.

 

Firma itu juga berpendapat, kumpulan itu berpotensi menjadi penerima manfaat besar bagi gelombang kitaran perbelanjaan modal bagi infrastruktur paip seterusnya yang boleh berlaku pada 2023.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) 75 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com