Operasi Bumi Armada di Rusia kekal terurus, CGS-CIMB naikkan penarafan saham kepada 'tambah' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Operasi Bumi Armada di Rusia kekal terurus, CGS-CIMB naikkan penarafan saham kepada 'tambah'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Mac - CGS-CIMB Research menjangkakan risiko akibat konflik Rusia-Ukraine terhadap Bumi Armada Bhd. masih kekal terurus, justeru, menaikkan penarafan sahamnya kepada 'tambah' berbanding 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran pada 55 sen.

 

Ini berikutan harga sahamnya merosot dengan ketara bulan lalu, kemungkinan disebabkan penjualan runcit, memandangkan pegangan institusi yang rendah, menurut penganalisisnya, Raymond Yap dalam nota kajian hari ini. 

 

Beliau mendapati, sejak bermulanya konflik tersebut, harga saham Bumi Armada jatuh 27% (daripada 52 sen pada 24 Februari 2022 kepada paras rendah 38 sen ketika hari pencerobohan Rusia pada 15 Mac), menimbulkan kebimbangan ekoran pendedahannya di Rusia.

 

Bumi Armada mempunyai 2 aset pembinaan dasar laut (SC) di Laut Caspian, iaitu Armada Installer dan Armada Constructor, yang telah bekerja untuk syarikat minyak bersepadu di Rusia, Lukoil sehingga Disember 2018.

 

Kumpulan juga baru-baru ini memperoleh kontrak baharu untuk melaksanakan kerja-kerja saluran minyak untuk Lukoil yang akan bermula pada suku kedua 2022.

 

"Lebih penting buat Bumi Armada, hasil jualan kapal bagi kategori ais berjumlah AS$44.5 juta telah dihantar ke Malaysia dan digunakan untuk mengurangkan pinjaman korporatnya.

 

"Selain itu, kontrak yang masih berjalan untuk kedua-dua kapal SC bukan keutamaan kepada kumpulan, dan kami percaya Bumi Armada mempunyai hak untuk menuntut kos semua kerja persediaan yang dilakukan sehingga kini walaupun kerja pemasangan saluran minyak akhirnya dipinggirkan.

 

"Tetapi, kami berpendapat Bumi Armada akan meneruskan kerja-kerja Lukoil dan mungkin menghantar keuntungan kembali ke Malaysia melalui akses berterusan bank bukan Rusia kepada sistem pembayaran SWIFT," jelasnya.

 

Berdasarkan data Bloomberg dan pemfailan umum Lukoil, sebanyak 28.33% pegangannya dimiliki Alekperov Vagit Yusufovich, iaitu ahli perniagaan Azerbaijan dan sebelum itu timbalan menteri minyak dan gas Soviet, manakala 9.3% dimiliki Fedun Leonid, bilionair Rusia. 

 

Sebanyak 43% pegangan pula dimiliki pelabur institusi seperti Vanguard, Blackrock dan FMR. Ini menyaksikan Lukoil tidak dimiliki oleh Rusia dan tidak tertakluk kepada sekatan Amerika Syarikat (AS) atau Eropah.

 

Sementara itu, menurut Yap, sekiranya Bumi Armada memenangi bidaan bagi projek FPSO Cameia di Angola, kumpulan perlu menambah ekiti sebanyak AS$90 juta dan melaksanakan terbitan hak sebanyak AS$500 juta. 

 

"Anggaran kami ini berdasarkan kepada jangkaan pemerolehan 50% pegangan dalam projek tersebut dengan TotalEnergies membiayai 42% daripada perbelanjaan modal (yang keseluruhan berjumlah AS$1.8 bilion) manakala pembiayaan hutang pula 48% daripada capex.

 

"Kapasiti kontraktor FPSO yang ketat di seluruh dunia mencadangkan kadar hari dan IRR mungkin kukuh, dan dengan itu, kami positif jika Bumi Armada memenangi projek ini," katanya. 

 

Bagaimanapun, beliau berkata, risiko penurunan bergantung kepada terbitan hak yang mungkin negatif kepada harga sahamnya dalam tempoh terdekat.

 

Setakat 11.35 pagi, harga sahamnya menokok 0.05 sen atau 1.2% kepada 42 sen dengan 16.09 juta saham diniagakan. - DagangNews.com