KUALA LUMPUR 1 Nov - OCBC Bank (Malaysia) Bhd dan IJM Land Bhd menjalin kerjasama strategik bagi menawarkan skim pembiayaan pemilikan kediaman berkonsep hijau, program ganjaran berorientasikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk mempromosikan kehidupan lestari.
Kerjasama kedua-dua pihak membuka ruang kepada bakal pembeli melabur atau membeli hartanah diperakui hijau yang dibangunkan IJM, yang mementingkan alam sekitar sambil mengurangkan jejak karbon dan kos pemilikan.
Peranan OCBC Bank sebagai bank asing pertama yang menjalinkan kerjasama dengan IJM Land adalah menawarkan pakej pembiayaan yang memberi ganjaran kepada amalan lestari, satu pendekatan holistiknya ke atas hartanah kediaman hijau.
Skim Pembiayaan Kediaman Hijau OCBC direka dengan unik untuk pembeli rumah mesra alam IJM Land, selain menawarkan kadar pembiayaan yang kompetitif dan pemprosesan pantas selepas permohonan diluluskan.
Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land, Datuk Wong Tuck Wai berkata, aspek mesra alam dan kelestarian dilihat bukan hanya aspirasi masa depan, sebaliknya keperluan masa kini, yang mana ia menjadi tonggak utama dalam pembentukan konsep dan reka bentuk projek pembangunannya.
Katanya, dalam usaha berterusan pihaknya untuk menggabungkan semua projek pembangunan dengan reka bentuk mampan, setiap projek kediaman yang dibangunkan IJM Land wajib mendapat persijilan hijau.
"Komitmen ini mendorong kami kepada tindakan konkrit, sokongan kukuh untuk memperkasakan kehidupan penghuni hartanah IJM semasa dan masa hadapan.
"Menerusi sinergi ini, OCBC Bank dan IJM Land secara bersama mewujudkan pilihan pemilikan kediaman hijau, sekali gus dapat menjadi contoh dan menerajui perubahan dalam sektor hartanah dan kewangan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna OCBC Bank, Anne Leh berkata, kerjasama dengan salah satu pemaju terkemuka di Malaysia membolehkan bank itu menawarkan skim pembiayaan kediaman lestari lebih meluas bagi menghargai pelanggan yang memilih untuk berbakti kepada alam sekitar.
"Selain kadar kompetitif ditawarkan menerusi skim Pembiayaan Kediaman OCBC, kami juga menawarkan insentif tambahan iaitu program pulangan tunai sehingga akhir Januari tahun hadapan, bagi memberi ganjaran kepada pelanggan kerana memilih kehidupan lestari terhadap alam sekitar.
"Ia melengkapkan tawaran sedia ada OCBC Bank membabitkan hartanah lestari dibangunkan IJM Land di seluruh Lembah Klang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak," katanya. - DagangNews.com








