Novartis Malaysia dinobat Penaja Terbaik di Anugerah Penyelidikan Tajaan CRM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Novartis Malaysia dinobat Penaja Terbaik di Anugerah Penyelidikan Tajaan CRM

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (tiga dari kanan) kepada Mohamed Elwakil (dua dari kiri)
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Jun - Novartis Malaysia telah dinobatkan sebagai Penaja Terbaik di Anugerah Penyelidikan Tajaan Clinical Research Malaysia (CRM) atas sumbangan cemerlangnya kepada ekosistem penyelidikan klinikal Malaysia.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Novartis Malaysia berkata ia telah memenangi anugerah tersebut kerana menyumbang jumlah kajian baharu yang tertinggi pada 2022 dan merupakan tahun keempat berturut-turut syarikat ini mendahului sebagai penaja utama bagi kajian baharu.

 

Pada 2022, Novartis Malaysia telah melabur dalam 24 ujian klinikal baharu dalam bidang kardio-metabolik, kanser payu dara, atrofi otot-spina, leukemia, sklerosis berbilang dan oftamologi dengan kira-kira 209 pesakit tempatan terlibat dalam semua kajian tersebut.

 

Dalam tahun yang sama, syarikat telah melabur kira-kira RM53.56 juta dalam 79 kajian berterusan, merangkumi lebih 25% daripada nilai keseluruhan kajian di Malaysia.

 

Presiden Novartis Malaysia, Mohamed Elwakil berkata pengiktirafan daripada CRM selaku pertubuhan pengurusan tapak yang dimiliki oleh Kementerian Kesihatan mengukuhkan lagi komitmen mereka untuk mentafsirkan semula perubatan demi menambah baik dan melanjutkan hayat insan.

 

 

Mohamed Elwakil (kiri) bawa pulang anugerah Penaja Terbaik
Mohamed Elwakil (kiri) bawa pulang anugerah Penaja Terbaik

 

 

Menurut beliau, Novartis Malaysia telah memainkan peranan penting selama ini dalam menyokong usaha mengukuhkan khidmat penjagaan kesihatan negara, khususnya dalam bidang penyelidikan dan ujian klinikal.

 

“Sesungguhnya kami akan terus meningkatkan penglibatan dengan kerajaan dan menyokong usaha mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan menerusi penyelidikan klinikal dan penggunaan inovasi teknologi dan digital pintar yang mengguna pakai bukti dunia sebenar (RWE) untuk merintis usaha mencari penyelesaian yang menambah baik rawatan pesakit,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr Akhmal Yusof berkata pihaknya mengiktiraf sumbangan Novartis sebagai Penaja Utama bagi tahun 2022 menerusi sumbangan jumlah dan nilai kontrak ujian klinikal yang tinggi oleh organisasi tersebut ke dalam negara.

 

“Pelbagai ujian klinikal terapeutik yang dilaksanakan oleh Novartis menangani keperluan perubatan pesakit kami yang belum dipenuhi lagi, dengan memberikan capaian awal kepada rawatan inovatif sambil meningkatkan hasil kesihatan pesakit dalam ujian klinikal.”

 

Menurut Akmal, nilai yang ditawarkan oleh Malaysia sebagai destinasi ujian klinikal pilihan utama adalah bersandarkan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh penyelidik klinikal, pengawasan kukuh kawal selia, penghantaran data klinikal berkualiti tinggi dan proses untuk melaksanakan ujian klinikal yang diselaras di negara ini. -DagangNews.com