KUALA LUMPUR 19 Dis - Northport (Malaysia) Bhd menganjurkan Hari Keselamatan Northport 2022 untuk kakitangan dan pengguna pelabuhannya pada 2 Disember 2022.
Bertemakan 'Demi Keluarga Anda, Utamakan Keselamatan', program tersebut dianjurkan dengan tujuan memberi penekanan akan kepentingan mengutamakan amalan kerja selamat dan sihat dalam kalangan kakitangan, demi orang tersayang.
Pelbagai aktiviti telah dianjurkan sepanjang Hari Keselamatan Northport 2022 merangkumi pemeriksaan kesihatan dan pameran oleh 16 agensi dan syarikat, termasuk daripada Jabatan Keselamatan & Kesihatan (DOSH), Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan beberapa pempamer lain.
Bagi menggalakkan budaya sihat dalam kalangan warga kerja Northport, demonstrasi senaman oleh bekas ahli bina badan negara, Datuk Abd Malek Md Noor turut diadakan dan program tersebut diakhiri dengan sesi senamrobik yang dipimpin oleh Fitness First.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, setelah dua tahun ketiadaan penganjuran akibat pandemik COVID-19, sambutan tahunan itu kembali dengan aktiviti menarik untuk menggalakkan budaya kesihatan dan keselamatan dalam kalangan warga TeamNorthport.
"Program ini juga mencerminkan usaha berterusan kami untuk memupuk kesedaran kepentingan keselamatan dan kesihatan dalam kalangan kakitangan, dan memberi peluang kepada mereka yang berprestasi cemerlang untuk berkongsi detik membanggakan bersama ahli keluarga mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Azman berkata, semua anugerah dan pengiktirafan diterima telah memberikan mereka motivasi tambahan untuk terus memberikan perkhidmatan yang cekap, selamat dan mampan kepada para pelanggan serta pihak berkepentingan.
"Pada masa yang sama ia juga meningkatkan budaya keselamatan dan kesihatan ke tahap yang lebih tinggi dalam perjalanan kami untuk menjadi pelabuhan yang Lebih Selamat, Lebih Hijau, Lebih Pintar dan Lebih Baik," katanya.
Northport telah memenangi beberapa anugerah dan pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa untuk inisiatif kesihatan dan keselamatannya pada tahun ini.
Pada Mei yang lalu, Northport memenangi anugerah International Association of Ports and Harbors (“IAPH”) 2022 Sustainability Award, di bawah kategori Keselamatan, Kesihatan dan Sekuriti semasa Persidangan Pelabuhan Dunia IAPH 2022 yang diadakan di Vancouver, Kanada.
Dengan projek bertajuk 'Perjalanan Ke Arah Kecemerlangan HSE', Northport menewaskan dua finalis lain, iaitu Pelabuhan Montreal dan Pelabuhan Amsterdam, dalam kategori ini.
Bulan lalu, Northport menyapu bersih Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2020/2021 dengan membawa pulang tiga anugerah iaitu anugerah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO of the Year) untuk Sektor Swasta. - DagangNews.com








