Norman Matthieu Vanhaecke dilantik sebagai CEO baharu Kumpulan Cradle Fund | DagangNews Skip to main content

Norman Matthieu Vanhaecke dilantik sebagai CEO baharu Kumpulan Cradle Fund

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Nov – Ahli Lembaga Pengarah Cradle Fund Sdn  Bhd (Cradle), agensi fokal ekosistem syarikat permulaan Malaysia di bawah Kementerian  Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), mengumumkan pelantikan Norman Matthieu Vanhaecke sebagai Ketua Pegawai Eksekutif  Kumpulan, berkuatkuasa 23 November 2023.

 

Dilahirkan daripada keturunan Melayu dan Belgium, Norman telah menjawat  jawatan sebagai Pemangku CEO Kumpulan Cradle sejak 1 Jun  2022.

 

Sebelum menyertai Cradle pada tahun 2020 dan menyandang jawatan sebagai Ketua Kewangan dan Perkhidmatan Korporat, beliau telah berkhidmat sebagai juruaudit di KPMG serta memegang pelbagai jawatan utama di bahagian  Strategi, Kewangan dan Pengurusan bagi syarikat petroleum tempatan, serta syarikat multinasional dan agensi kerajaan.

 

Beliau memiliki ijazah dalam bidang Perakaunan daripada University of Queensland, Australia, dan ijazah dalam  Kejuruteraan Perisian daripada Universiti Multimedia, Malaysia.

 

Latar belakang serta bidang pengajian beliau telah memupuk minat Norman dalam bidang teknologi dan inovasi, dalam masa yang sama, melonjakkan semangat beliau  dalam memacu startup tempatan untuk menjadi lebih berdaya saing di peringkat  global.


 

Pengerusi Cradle, Datuk Yvonne Chia
                              Datuk Yvonne Chia

 


Pengerusi Cradle, Datuk Yvonne Chia menyokong pelantikan tersebut, berkata Lembaga Pengarah Cradle mengutamakan kenaikan pangkat secara dalaman kerana ia mencerminkan kepakaran bakat Cradle.

 

“Sejak 18 bulan lalu, Norman telah membuktikan kepimpinan beliau sebagai Pemangku CEO Kumpulan yang dilihat telah memberi impak yang ketara kepada Cradle. Dengan latar belakang serta rekod pencapaian yang memberangsangkan, saya  yakin Cradle akan terus menerajui agenda startup negara dan terus memberi  impak positif kepada masyarakat, individu dan perniagaan, selari dengan aspirasi  Malaysia MADANI,” kata Yvonne.

 

Cradle merakamkan setinggi penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh  Kementerian Kewangan (MOF) dan MOSTI sejak penubuhan agensi ini. 

 

Kerjasama erat di antara Cradle dan kedua-dua kementerian ini telah memainkan  peranan penting dalam membentuk ekosistem startup yang inklusif, berkesan dan mampan, sejajar dengan sasaran Kerajaan untuk meletakkan Malaysia dalam 20 Ekosistem Startup Global Terbaik menjelang 2030.

 

Komitmen teguh MOF dan  MOSTI telah memacu pertumbuhan startup dan menyumbang kepada landskap  ekonomi yang menyeluruh. - DagangNews.com