Nilai jualan sektor pembuatan naik 3.3% kepada RM146.8 bilion pada Mei 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai jualan sektor pembuatan naik 3.3% kepada RM146.8 bilion pada Mei 2023 - DOSM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 12 Julai - Nilai jualan sektor pembuatan kembali positif dengan mencatat pertumbuhan 3.3% tahun ke tahun kepada RM146.8 bilion dalam Mei 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Pencapaian itu disokong oleh pertumbuhan kukuh antaranya peralatan pengangkutan dan pengeluar lain, produk mineral bukan logam serta produk elektrik dan elektronik, kata jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

 

Kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain mencatat pertumbuhan kukuh 17.3% manakala produk mineral bukan logam logam asas dan produk logam yang direka (8.7%) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (8.2%).

 

"Nilai jualan sektor pembuatan meningkat 3.3% pada Mei 2023 setelah turun 2% pada bulan sebelumnya.

 

"Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan itu pulih kepada 1.3% berbanding negatif 7.2% yang direkodkan pada April 2023," katanya.

 

Menurut jabatan itu, nilai jualan industri berorientasikan eksport yang merangkumi 71.6% daripada jumlah jualan, turut pulih sedikit sebanyak 0.2% pada Mei 2023 selepas susut pada April lepas.

 

Kenaikan ini disumbangkan terutamanya oleh industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (7.9%); pembuatan kayu, produk kayu dan gabus (7.5%) dan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (2.4%).

 

 

dosm

 

 

"Namun begitu, industri berorientasikan domestik mengekalkan momentum positif untuk merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 12.3% pada Mei 2023 (April 2023: 1.6%).

 

"Selain itu, prestasi kukuh industri berorientasikan domestik disokong terutamanya oleh industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan separa treler (20.1%); pembuatan pemprosesan produk makanan (12.9%) dan pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan (10.6%)," katanya.

 

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, bilangan pekerja meningkat sebanyak 2.6% kepada 2.36 juta orang manakala gaji dan upah meningkat 4.1% kepada RM40.6 bilion, lapor Bernama.

 

Jabatan Perangkaan berkata, dalam tempoh tersebut, nilai jualan bagi setiap pekerja mencatat pertumbuhan sebanyak 2.5% kepada RM314,636. - DagangNews.com