KUALA LUMPUR 11 Julai - Ni Hsin Group Bhd bekerjasama dengan Boustead Holdings Bhd yang dinyahsenarai baru-baru ini untuk promosi dan pemasaran motosikal elektrik kumpulan itu, Ebixon EV.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ni Hsin berkata, anak syarikat milik penuh kumpulan itu Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd menandatangani perjanjian ejen korporat tiga tahun untuk melantik unit milik penuh Boustead Technology Sdn Bhd sebagai ejen korporat untuk mempromosikan, memasarkan, menjual dan mengedarkan Ebixon EV secara eksklusif dalam tenaga kerja dalaman Boustead.
"Rasional (perjanjian) adalah untuk NH EV Tech memanfaatkan Boustead untuk mempromosikan dan memasarkan produk (Ebixon EV dan produk berkaitan)," kata Ni Hsin.
Menurut Ni Hsin, Boustead Technology akan dibayar insentif untuk jualan yang dicapai setiap bulan.
Dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan NH EV, Tech Khoo Chee Kong berkata, kerjasama strategik itu menandakan satu langkah penting ke arah meningkatkan keterlihatan dan kebolehcapaian Ebixon EV.
Katanya, ia akan membantu mendorong agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Ni Hsin, sambil mewujudkan aliran hasil hijau dalam perdagangan karbon, yang mana pelepasan dianggap sama ada sebagai kredit karbon atau offset yang boleh dijual dalam pasaran karbon seperti pasaran karbon sukarela Bursa Securities, Bursa Carbon Exchange
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Technology, Azril Hisham berkata, sejajar dengan inisiatif "Reinventing Boustead", kerjasama itu akan mengambil bahagian dalam mempromosikan kehidupan mampan dan menggalakkan kakitangan Boustead mengurangkan jejak karbon kumpulan melalui penggunaan kenderaan elektrik. - DagangNews.com








