Ng Wei Wei wanita pertama terajui UOB Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ng Wei Wei wanita pertama terajui UOB Malaysia

Ng Wei Wei
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 April - UOB Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan Ng Wei Wei sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) wanita pertamanya, berkuat kuasa 1 Mei 2022. 

 

Beliau akan menggantikan Wong Kim Choong (KC) yang akan melepaskan jawatan tersebut selepas menerajui bank sejak 2012.

 

Wong akan memainkan peranan baharu sebagai Penasihat Kanan dan akan menyelia integrasi1 perniagaan perbankan runcit Bank dan Citi2, sehingga persaraan beliau yang telah dirancang.

 

Ng ialah seorang jurubank yang mempunyai pengalaman luas dan pengetahuan mendalam mengenai industri kewangan. Pada peringkat awal kerjayanya, dari 2000 hingga 2006, beliau telah mengasah kemahiran perbankan dan membangunkan nilai teras di UOB Malaysia. 

 

Berikutan beberapa peranan kepemimpinan di institusi kewangan global di Malaysia dan Hong Kong, beliau kembali ke UOB Malaysia pada 2019 sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Borong, sebelum menyandang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif pada 2021. 

 

Beliau telah memainkan peranan penting dalam mengembangkan Perbankan Borong UOB Malaysia, selain memajukan keutamaan strategik bank yang termasuk usaha Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus, dan juga agenda inovasi. 

 

Di samping itu, beliau juga membantu pelanggan berkembang di rantau ini dengan memanfaatkan kesalinghubungan, kepakaran dan keupayaan Bank.

 

Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UOB, Wee Ee Cheong berkata, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada KC atas kepimpinan mantap beliau dan mengucapkan tahniah kepada Wei Wei atas pelantikan beliau sebagai CEO UOB Malaysia. 

 

"Pelantikan Wei Wei menunjukkan kepercayaan teguh kami terhadap kepentingan dan manfaat kepelbagaian ke arah usaha kami menjangka keperluan pelanggan dalam persekitaran yang semakin mencabar, sentiasa berubah dan tidak menentu.

 

“KC bersara dengan rekod prestasi menunjukkan kemajuan Bank dalam bidang perkhidmatan pelanggan, kesalinghubungan serantau, inovasi dan kemampanan. Saya yakin di bawah pimpinan Wei Wei, UOB Malaysia akan terus mencapai tahap kemajuan yang lebih tinggi ke arah usaha kami membantu pelanggan merebut peluang di dalam dan di seluruh rantau ini," katanya.

 

Di bawah pimpinan Encik Wong, UOB Malaysia telah berkembang dengan mantap ke kedudukannya yang paling kukuh, iaitu sebagai bank asing terbesar di negara hari ini. 

 

Beliau akan terus menyumbang kepada pertumbuhan Bank dengan memainkan peranan sebagai Penasihat Kanan pengambilalihan perbankan pengguna Citi, salah satu usaha korporat paling penting untuk UOB sejak kebelakangan ini. - DagangNews.com