KUALA LUMPUR 12 Mac - Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mencela Nexia SSY PLT dan dua rakan kongsi auditnya atas dakwaan melanggar piawaian pengauditan.
Dua juruaudit tersebut ialah Michelle Yong Voon Sze dan Jayapalasingam Kandiah.
Sebagai rakan kongsi tugasan yang bertanggungjawab ke atas audit entiti berkepentingan awam (PIE), AOB berkata Michelle telah gagal melaksanakan prosedur audit dan mendapatkan bukti audit yang mencukupi untuk menyokong asas bagi pendapat bersyarat dalam laporan juruaudit.
“Pelanggaran ini merupakan ketidakpatuhan terhadap Piawaian Antarabangsa tentang Pengauditan (ISA) yang berkaitan seperti yang diterima pakai oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA).
“Syarat-syarat adalah yang berkaitan dengan perjanjian tertentu yang dimeterai oleh PIE. Michelle gagal menilai sama ada kesan perjanjian ini adalah pervasif atau sebaliknya dalam penyata kewangan PIE dan menilai kesahihan dan kebolehkuatkuasaannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Di samping itu, Jayapalasingam, selaku Penyemak Kawalan Kualiti Tugasan, telah gagal menyemak dengan secukupnya dokumentasi audit terpilih yang berkaitan dengan pertimbangan penting dan bidang risiko penting dalam tugasan dan asas kesimpulan yang dicapai, terutamanya asas untuk pendapat bersyarat tersebut.
Berkenaan dengan Nexia, firma audit telah dicela kerana kualiti prestasi tugasan dan ketidakpatuhan terhadap keperluan berkaitan Piawaian Antarabangsa tentang Kawalan Kualiti 1 (ISQC 1) seperti yang diterima pakai oleh MIA, khususnya mengenai pengumpulan fail dan dokumentasi audit. - DagangNews.com








