KUALA LUMPUR 22 Feb - Tekanan kos input yang semakin meningkat sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama 2023 akan menjejaskan prospek Nestlé (Malaysia) Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).
Tambahan pula, menurut Kenanga Research, pelanggan mungkin akan mencari pilihan lain sekiranya terus berdepan dengan kenaikan inflasi akibat kenaikan harga produk.
Firma itu kekal berhati-hati terhadap prospek Nestlé memandangkan terdapat risiko penurunan terhadap pertumbuhan pendapatan dan margin apabila pengguna beralih kepada jenama lain yang lebih murah.
Menurutnya, kenaikan berterusan harga jualan purata (ASP) boleh memburukkan lagi permintaan yang telah pun lembap.
Namun, ia menjangkakan kenaikan harga secara beransur-ansur mungkin berakhir pada suku kedua FY23 kerana ia agak terlindung daripada pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit memandangkan strateginya melindung nilai ke hadapan keperluan dolarnya selama 3 hingga 5 bulan sejak separuh kedua 2022.
Di samping itu, inventori kos tingginya akan dikurangkan menjelang separuh pertama 2023 dan ia mula menikmati harga komoditi makanan yang semakin perlahan manakala gangguan rantaian bekalan global (yang telah menjadi pemacu inflasi kos) pula semakin mereda.
"Selain daripada kebimbangan terhadap kehilangan bahagian pasaran, kami percaya Nestlé mempunyai kewajipan moral serta kewajipan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk tidak menaikkan harga produk makanan rujinya secara berlebihan yang membentuk diet harian penduduk," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Untung bersih Nestle bagi suku keempat meningkat 18.5% kepada RM132.9 juta
Untung bersih Nestlé meningkat 18.5% kepada RM132.9 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, berbanding RM112.1 juta bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.
Keuntungan tersebut dapat dicapai berikutan peningkatan perolehan walaupun harga komoditi lebih tinggi dan kadar pertukaran yang tidak menggalakkan serta kesan Cukai Makmur.
Pendapatan bagi suku tersebut meningkat 12.37% kepada RM1.65 bilion daripada RM1.47 bilion pada tahun sebelumnya.
Bagi tahun kewangan penuh FY22, untung bersihnya meningkat 8.9% kepada RM620.3 juta daripada RM569.8 juta pada FY21 manakala pendapatan juga meningkat 16.2% kepada RM6.67 bilion berbanding RM5.73 bilion.
Secara keseluruhan, Kenanga Research mengulangi pandangan 'underperform' terhadap Nestlé dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM122.07 daripada RM115.65 sesaham sebelum ini.
"Kami turut menaikkan unjuran keuntungan bersih bagi FY23 sebanyak 4%, yang mencerminkan kecekapan kos selepas pandemik COVID-19," katanya.
Setakat 10.50 pagi, harga saham Nestlé menokok 30 sen atau 0.22% kepada RM135.4 sesaham dengan 7,000 saham diniagakan. - DagangNews.com








