KUALA LUMPUR 15 Mei - Nationgate Holdings Bhd dapat memanfaatkan gelombang baharu pengeluar reka bentuk asal (ODM) yang mencari kepelbagaian pengeluaran di Malaysia.
Kenanga Research berkata lawatan pemasaran kumpulan itu ke China baru-baru ini menjanjikan potensi pelanggan dan tempahan baharu menjelang akhir 2023.
Firma penyelidikan itu berkata perbincangan dengan pelbagai ODM di China sangat positif dengan melihat peluang baharu menjelang akhir 2023.
“Jaminan kumpulan tentang prospek cerahnya disokong oleh peningkatan jumlah ODM yang ingin mempelbagaikan pengeluaran mereka di luar China dan menyatakan minat terhadap keupayaan Nationgate,” katanya dalam nota hari ini.
Selain itu, strategi kumpulan mendapatkan pelanggan baharu berasaskan konsainan akan menghasilkan margin yang lebih tinggi dan mengurangkan risiko inventori.
Menurut firma itu, kumpulan tersebut mengambil langkah tersebut memandangkan mereka mempunyai kekurangan berterusan dalam komponen utama tertentu.
“Kami melihat perkembangan ini secara positif kerana ia membolehkan kumpulan untuk menghasilkan margin lebih tinggi dengan hanya kos tenaga kerja, mengurangkan turun naik harga bahan mentah, serta menurunkan risiko lebihan stok inventori dan perbelanjaan berkaitan dengan barangan yang bergerak perlahan,” ulas firma itu.
Bagaimanapun, firma tersebut masih belum mengambil kira potensi pemangkin ini sementara menunggu butiran lanjut.
Di samping itu, Nationgate sedang mengembangkan jumlah ruang lantainya sebanyak kira-kira 50% dengan penambahan 80,000 kaki persegi Loji 5 menjelang Julai 2023 dan tambahan 248,000 kaki persegi ke Loji 7 menjelang Disember 2023 bagi menampung pelanggan berpotensi baharu.
Unjuran pendapatan dikekalkan memandangkan firma itu percaya ramalannya telah mencerminkan potensi pertumbuhan jangka pendek kumpulan.
Firma itu mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) dikekalkan sebanyak RM1.50 sesaham. -DagangNews.com


