KUALA LUMPUR 7 Nov - Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bekerjasama dengan platform TikTok bagi mengekalkan dan meningkatkan pematuhan perundangan harta intelek di Malaysia.
MyIPO dan TikTok dalam kenyataan bersama berkata, kerjasama itu bertujuan memastikan dasar dan penguatkuasaan harta intelek di platform TikTok sejajar dengan akta harta intelek di Malaysia.
.
Kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu semalam.
Mereka berkata, aspek penting dalam MoU itu ialah inisiatif untuk mempromosi dan menjalankan latihan serta penyebaran pengetahuan dan maklumat mengenai harta intelek kepada komuniti TikTok, terutamanya dalam kalangan usahawan yang terlibat secara aktif dalam TikTok Shop.
Di Malaysia, lebih 1 juta penjual, 98% daripadanya adalah perusahaan kecil dan sederhana berada di TikTok Shop.
Pada masa yang sama, TikTok memperkenalkan Pusat Perlindungan Harta Intelek (IPPC), platform khusus yang direka untuk membolehkan pemilik harta intelek memfailkan aduan secara langsung dengan TikTok mengenai mana-mana penjual di TikTok Shop yang dipercayai melanggar undang-undang harta intelek.
Melalui kerjasama ini, MyIPO dan TikTok mengesahkan komitmen mereka untuk memastikan ekosistem harta intelek di Malaysia berfungsi dengan berkesan dan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan, lapor New Straits Times.

Diharapkan usaha bersama ini akan meningkatkan kesedaran tentang harta intelek dan menggalakkan lebih ramai individu, terutamanya usahawan yang menjalankan perniagaan di TikTok Shop, memahami dan melindungi hak harta intelek mereka. - DagangNews.com








