MyEG, pengarah urusan beli empat juta saham kumpulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyEG, pengarah urusan beli empat juta saham kumpulan

KUALA LUMPUR 16 Feb - Pemegang saham utama dan pengarah urusan MyEG Services Bhd., Wong Thean Soon membeli dua juta saham dalam kumpulan itu semalam, meningkatkan jumlah pegangannya kepada 29.73%. 

 

MyEG sendiri juga membeli balik lebih dua juta sahamnya.

 

Wong memperoleh dua juta saham itu melalui Asia Internet Holdings Bhd., meningkatkan kepentingan tidak langsungnya dalam MyEG kepada 17.588% manakala kepentingan langsungnya berjumlah 12.138%.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, tranche saham dibeli pada 62.5 sen sesaham iaitu kira-kira 10% lebih rendah daripada harga penutup pada 69.5 sen sesaham semalam.

 

Berdasarkan pengiraan belakang sampul surat, Wong akan membelanjakan sebanyak RM1.25 juta untuk membeli dua juta saham itu.

 

Secara keseluruhan, Wong telah membelanjakan RM4.94 juta untuk membeli tujuh juta saham dalam pembelian semula itu.

 

Pada 7 Februari, beliau memperoleh lima juta saham MyEG pada harga RM3.69 juta atau 73.8 sen sesaham apabila harga saham itu merosot 26.7% untuk ditutup pada 70 sen pada hari itu berikutan laporan berita bahawa semua perkhidmatan dan proses imigresen akan dikembalikan kepada Jabatan Imigresen menjelang 2025 termasuk yang diuruskan oleh pihak ketiga seperti MyEG.

 

Di dalam makluman berasingan semalam, MyEG berkata, kumpulan itu membelanjakan RM1.27 juta lagi untuk membeli balik dua juta lagi sahamnya sendiri pada 63 sen sesaham.

 

Secara kumulatif, MyEG telah membelanjakan RM6.64 juta untuk 10 juta saham dalam pembelian balik sahamnya.

 

Semalam, harga saham MyEG melonjak 11.2% atau tujuh sen untuk ditutup pada paras tertinggi harian 69.5 sen. 

 

Ini berlaku selepas harga sahamnya meningkat 3.31% kepada 62.5 sen pada Selasa selepas kumpulan itu menjelaskan bahawa pemilik dan pemandu kenderaan masih boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu melalui saluran sedia ada. -DagangNews.com